AM

JPA Tawar 640 Slot Penajaan Lepasan SPM 2026, Perkukuh Pembangunan Bakat Negara

19/06/2026 10:45 AM

PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini mengumumkan penawaran 640 slot Penajaan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2026, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh pembangunan bakat negara.

Ia selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk melahirkan modal insan berprestasi tinggi, yang mampu memacu kemajuan dan daya saing negara pada masa hadapan.

Dalam kenyataan hari ini, JPA memaklumkan ia merangkumi Program Penajaan Nasional sebanyak 30 slot, Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (140), Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara (200) dan Program Khas JPA-MARA (PKJM) sebanyak 270 slot.

“Penajaan yang ditawarkan meliputi pelbagai bidang strategik dan kritikal termasuk kejuruteraan, sains dan teknologi dan sains sosial.

“Melalui program ini, pelajar berpeluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan terkemuka dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Korea, Perancis, Jerman, United Kingdom dan New Zealand, selain institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan,” menurut kenyataan JPA.

Menurut kenyataan JPA, calon yang telah mengemukakan permohonan boleh membuat semakan keputusan penajaan secara dalam talian mulai 10 pagi hari ini, hingga 5 petang 22 Jun, melalui sistem yang disediakan JPA.

Semua pelajar yang berjaya menerima tawaran Penajaan Lepasan SPM Tahun 2026, akan menerima penajaan di bawah Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBUA), yang telah diperkenalkan oleh  JPA pada Jun 2025.

Pelaksanaan PBUA mencerminkan komitmen JPA dalam mengiktiraf kecemerlangan akademik serta mendorong penerima penajaan untuk terus mencapai prestasi terbaik sepanjang tempoh pengajian.

“Melalui penawaran penajaan ini, JPA komited memastikan pelajar cemerlang negara terus mendapat akses kepada pendidikan berkualiti di institusi pengajian tinggi terkemuka dalam dan luar negara,” menurut kenyataan itu dan JPA  turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang menerima tawaran penajaan itu.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JPA untuk membangunkan bakat negara dalam bidang strategik dan kritikal yang diperlukan bagi menyokong agenda pembangunan nasional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan