AM

Gawai Kitai 2026 Tampil Warisan Budaya Dayak Di Ibu Negara

20/06/2026 09:43 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Orang ramai berpeluang mengenali lebih dekat keunikan budaya masyarakat Dayak di Sarawak menerusi program Gawai Kitai 2026 yang berlangsung selama dua hari hingga esok di The Square, Publika, Solaris Dutamas di sini.

Program anjuran MOD Solution dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu menampilkan persembahan tarian tradisional etnik Sarawak seperti ngajat, tarian buluh dan persembahan sape, selain demonstrasi serta bengkel kebudayaan, pameran warisan, jualan produk tempatan dan persembahan artis kelahiran Sarawak.

Penganjur Gawai Kitai 2026, Michael Oridecth Dures berkata program yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu mempromosikan budaya, seni dan warisan Sarawak kepada masyarakat termasuk pelancong asing.

"Sambutan yang diterima tahun lepas amat menggalakkan dan menjadi pemangkin kepada kami untuk meneruskan usaha mempromosikan budaya, seni dan warisan masyarakat Sarawak," katanya ketika berucap pada majlis perasmian program berkenaan hari ini.

Program itu dirasmikan Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Shaharuddin ketika ditemui pemberita berkata meskipun program berkenaan diadakan di ibu negara dan tidak dapat menampilkan sepenuhnya suasana sambutan Hari Gawai di rumah panjang di Sarawak, ia masih berjaya mengetengahkan pelbagai elemen budaya masyarakat negeri itu.

"Kita amat mengalu-alukan penganjurannya kerana ia mempamerkan keunikan budaya di negara ini kepada pengunjung domestik dan antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan