AM

Harga Diesel Bersubsidi RM2.10 Seliter Untuk Rakyat Malaysia Mulai Julai - PM Anwar

21/06/2026 07:16 PM

BINTULU, 21 Jun (Bernama) -- Kerajaan MADANI akan menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel selaras dengan pendekatan yang digunakan melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), dengan pengesahan melalui MyKad.

“Esok, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan memberikan penjelasan mengenai perlaksanaan harga baru diesel bersubsidi ini kepada media di Kuala Lumpur,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Susulan Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Memorandum Persefahaman (MoU) perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran merupakan antara faktor yang menyumbang kepada penurunan harga walaupun keadaan ekonomi global masih tidak menentu.

“Hari ini saya umumkan penyasaran subsidi diesel, bukan naikkan tapi turun harga diesel walaupun keadaan masih tidak menentu. Setakat ini Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif yang banyak menyelaraskan rundingan itu berkata kepada saya this time (kali ini) dia yakin krisis di Asia Barat dapat diredakan.

“Jadi ini akan membantu kita dari sudut harga minyak diesel,” kata beliau.

Perdana Menteri menegaskan penyasaran subsidi diesel menggunakan pengesahan melalui MyKad bertujuan untuk menggelakkan ketirisan yang mencecah berbilion ringgit, selain dapat meningkatkan lagi penguatkuasaan.

Beliau juga menjelaskan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung dilewatkan sedikit berbanding Sabah dan Sarawak, memandangkan kedua-dua negeri itu merekodkan penggunaan diesel yang lebih tinggi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Anwar berkata hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak menjadi faktor utama kejayaan pelaksanaan beberapa inisiatif strategik termasuk penukaran status Pelabuhan Bintulu kepada pelabuhan negeri.

Beliau berkata kerjasama yang terjalin dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg membolehkan pelbagai isu yang sekian lama tertangguh diselesaikan melalui rundingan dan persefahaman yang baik antara kedua-dua pihak.

“Hubungan baik dan saling mempercayai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak membolehkan kita melaksanakan apa yang dipersetujui demi kepentingan rakyat serta pembangunan negeri dan negara,” kata Perdana Menteri.

Selain itu, beliau turut memaklumkan rundingan melibatkan syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) kini berada pada peringkat akhir selepas prinsip asas penyelesaian dipersetujui kedua-dua pihak.

Beliau berkata sebarang perbezaan pandangan yang timbul dalam proses rundingan adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi dan tidak seharusnya dilihat sebagai pertikaian yang menjejaskan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Terdahulu, majlis berkenaan turut dihadiri Abang Johari dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan