Oleh Nurul Hanis Izmir
ISTANBUL, 21 Jun (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia baru-baru ini bukan sahaja menyaksikan deklarasi sidang kemuncak, mesyuarat dua hala dan perbincangan mengenai perdagangan dan tenaga, malah turut memperlihatkan sambutan luar biasa yang diterima beliau di pentas antarabangsa.
Buktinya, sejurus selepas sesi pembukaan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia berakhir, Perdana Menteri terus menjadi tumpuan para wartawan daripada pelbagai negara yang ingin mendapatkan pandangan beliau.
Daripada isu perdagangan dan perkembangan geopolitik sehinggalah kerjasama serantau serta pertukaran budaya, banyak soalan diajukan wartawan yang ingin mendapatkan pandangan beliau mengenai pelbagai perkara.
Perkara yang paling menarik perhatian saya sepanjang lawatan itu selaku wartawan yang membuat liputan Perdana Menteri di luar negara buat kali pertama, bukan sekadar jumlah soalan yang diajukan, malah kesediaan beliau untuk menjawab segala pertanyaan.
Di sebalik jadual padat Perdana Menteri, beliau tetap meluangkan masa untuk berhenti, mendengar dan menjawab segala pertanyaan dengan sabar.
Beliau melayan pertanyaan wartawan seorang demi seorang, sentiasa memberi penjelasan kepada isu-isu dibangkitkan sekali gus mencerminkan pemahaman beliau terhadap perkara yang dibincangkan selain menunjukkan kebolehan untuk berinteraksi dengan pelbagai lapisan audiens.
Dalam landskap diplomatik yang serba pantas pada masa ini, di saat kebanyakan pemimpin diapit dengan jadual yang padat dan berdepan pelbagai protokol, sikap mudah didekati yang diperlihatkan Anwar, semakin jarang ditemui.
Di samping itu, kebanyakan wartawan dilihat sudah mengenali Anwar sebelum sesi perkenalan berlangsung, manakala wartawan yang lain menunggu dengan penuh teruja untuk merebut peluang mengemukakan soalan.
Kemampuan beliau untuk memahami audiens juga dapat dilihat menerusi pendekatan yang digunakan di media sosial.
Sama ada dirancang atau berlaku dengan sendirinya, Anwar dan pasukan medianya jelas memahami kepentingan untuk mendekati masyarakat setempat.
Selain penglibatan beliau dalam pelbagai program, hantaran media sosial Anwar juga turut diiringi dengan lagu-lagu popular Rusia yang dilihat berjaya mewujudkan kelompok peminat beliau yang tersendiri.
Malah, seorang wartawan bertanya sama ada beliau benar-benar meminati muzik Rusia.
Perbualan itu kemudian bertukar kepada suasana yang lebih santai apabila wartawan bertanya mengenai lagu-lagu Rusia yang sering digunakan dalam hantaran Instagram Anwar dari Kazan, termasuk “Matushka,” “Zemlya” dan “Kalinka Malinka.”
“Ya, saya memang suka, begitu juga anak-anak saya. Mereka menghafal lagu-lagu itu.Saya tidak, tetapi saya suka muziknya,” jawab beliau.
Anwar juga meluangkan masa untuk menyatakan penghargaan beliau terhadap kesusasteraan dan puisi Rusia.
Dari sudut peribadi, apabila saya memuat naik gambar-gambar sepanjang lawatan itu, beberapa sahabat dari negara lain meluahkan rasa kagum mereka berikutan Malaysia mempunyai seorang pemimpin yang begitu berkarisma dan mempunyai daya tarikan.
Walaupun respons di media sosial tidak sewajarnya dianggap sebagai penanda kejayaan sesuatu dasar, namun ini tetap mencerminkan persepsi bahawa Anwar kini menjadi antara pemimpin yang paling dikenali dari Asia Tenggara di pentas global.
Lawatan itu bukan sekadar meningkatkan imej peribadi, malah mempunyai impak yang lebih luas.
Membina keterjaminan tenaga melalui diplomasi
Misi ke Kazan, ibu kota dan bandar terbesar Tatarstan, Rusia, serta seterusnya ke Turkmenistan, pada akhirnya bertujuan untuk melindungi kepentingan jangka panjang Malaysia terutama dalam aspek keterjaminan tenaga dalam keadaan ketidaktentuan global yang terus meningkat.
Di Kazan, Anwar bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin ketika Malaysia meneroka pelbagai saluran untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor strategik termasuk tenaga, manakala di Turkmenistan, tumpuan terarah kepada peluang melibatkan gas asli dan kehadiran Petronas sejak sekian lama di negara Asia Tengah itu.
Bagi negara seperti Malaysia, memastikan kepelbagaian dan kebolehpercayaan sumber tenaga bukan sekadar pertimbangan ekonomi, malah menyentuh aspek daya tahan negara.
Dalam konteks ini, kemampuan Anwar untuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin dan pembuat keputusan di peringkat antarabangsa menjadi semakin penting.
Apa yang membezakan gaya diplomasi beliau adalah kebolehannya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
Beliau jarang terikat kepada teks ucapan yang bersifat formal semata-mata. Sebaliknya, Perdana Menteri sering menyelitkan unsur humor dalam perbualan, meredakan ketegangan dengan gurauan santai serta berinteraksi dengan audiens dengan spontan, bukan seperti membaca teks yang disediakan.
Pendekatan ini membolehkan beliau berkongsi apa-apa isu yang mencabar untuk dibincangkan tanpa menimbulkan rasa tidak selesa, dan mungkin disebabkan itu beliau sentiasa menjadi tumpuan di mana-mana sahaja beliau berada.
Diplomasi, pada hakikatnya, bukan sahaja mengenai perjanjian yang dimeterai, sebaliknya melibatkan aspek membina hubungan, mewujudkan kepercayaan dan memastikan mesej yang disampaikan benar-benar memberi impak kepada pihak berkepentingan.
Melihat Malaysia dari kaca mata dunia
Sebagai wartawan Malaysia yang membuat liputan di luar negara, wujud rasa bangga yang tidak dapat dinafikan apabila rakan wartawan dari negara lain memberikan pandangan positif mengenai pemimpin negara kita.
Detik-detik seperti itu menjadi peringatan bahawa suara Malaysia sedang didengari manakala kepimpinannya terus menarik perhatian di pentas antarabangsa.
Rakyat Malaysia mungkin telah terbiasa mendengar ungkapan “Malaysia MADANI.” Malah, ada yang sudah terlalu biasa sehingga hampir tidak lagi memberikan perhatian mereka.
Namun, dalam keadaan jauh dari tanah air, ia sering mengubah perspektif seseorang.
Apabila berada di luar negara, kita mula melihat sesuatu dari sudut pandang yang berbeza ketika mendengar orang lain memberikan pandangan positif mengenai Malaysia, ketika wartawan asing menemui Perdana Menteri untuk mendapatkan komen dan ketika pemimpin antarabangsa mengalu-alukan Malaysia sebagai rakan penting.
Kadangkala, kita perlu melangkah keluar dari negara sendiri untuk benar-benar menghargai bagaimana dunia melihat kita dan ada kalanya kita hanya menyedari nilainya apabila orang lain terlebih dahulu menghargai sesuatu yang kita miliki.
Ketika saya menulis catatan ini dari Istanbul dan masih menunggu penerbangan pulang ke Kuala Lumpur, Perdana Menteri telah selamat tiba di Malaysia dan terus memfokuskan kepada agenda seterusnya di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial