AM

Kerajaan Persekutuan Yakin Sarawak Mampu Urus Pelabuhan Bintulu - PM Anwar 

21/06/2026 11:06 PM

KUCHING, 21 Jun (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan yakin Kerajaan Sarawak mempunyai kepakaran serta keupayaan untuk mengurus dan mengendalikan Pelabuhan Bintulu susulan penukaran status pelabuhan itu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelabuhan berkenaan merupakan antara pelabuhan penting negara, khususnya bagi industri gas asli cecair (LNG), selain memainkan peranan strategik di rantau Asia.

Beliau berkata, Sarawak kini memiliki keupayaan mencukupi untuk mentadbir dan mengendalikan pelabuhan berkenaan, termasuk tenaga pakar serta cendekiawan berpengalaman dalam bidang berkaitan.

“Penyerahan Pelabuhan Bintulu oleh Kerajaan Persekutuan ini juga menjadi petanda keyakinan serta lambang persahabatan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2026 Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

Terdahulu, Majlis Penyerahan Cek Penukaran Status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri diadakan di Bintulu, hari ini.

Majlis penyerahan cek penukaran status itu turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada 20 Mei lepas, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju memindahkan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak dengan nilai pampasan RM1.8 bilion.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau mahu syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) serta Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bekerjasama sebagai satu pasukan dalam usaha membangunkan negara.

Beliau berkata bagi mencapai kesepakatan, kedua-dua pihak perlu saling menghormati serta mengiktiraf hak dan undang-undang, sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Saya dan Abang Johari menegaskan kepada Petronas dan Petros supaya memberi tumpuan kepada kepentingan bersama serta menjalinkan kerjasama erat. Kita mahukan situasi menang-menang kerana peluang yang ada sangat besar.

“Kita juga mahu perkara ini diselesaikan secara adil, telus dan saksama.

“Saya berharap dalam tempoh terdekat, kita dapat memuktamadkan persetujuan antara Petronas dan Petros,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan