PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman yang dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan beliau kira-kira 9 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Tarique kemudiannya memeriksa pasukan kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Mejar Nur Ahmad Zaim Zahari.
Majlis itu turut dihadiri isteri Tarique, Dr Zubaida Rahman dan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, barisan Jemaah Menteri, diplomat asing serta pegawai kanan kerajaan.
Selepas upacara sambutan, Tarique menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar, diikuti mesyuarat dua hala membabitkan menteri kanan serta pegawai kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Bangladesh serta meneroka peluang memperkukuh kerjasama dalam sektor utama, termasuk perdagangan dan pelaburan, pengurusan sumber manusia, semikonduktor, tenaga, pertanian serta pendidikan.
Mereka juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Susulan mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran satu memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama kebudayaan, selain dua pertukaran nota (EoN) masing-masing dalam bidang penyelidikan antikeganasan serta promosi dan pemudahcaraan pelaburan.
Perdana Menteri kemudiannya akan menganjurkan majlis makan tengah hari bagi meraikan rakan sejawatannya itu.
Delegasi Bangladesh turut disertai Menteri Luar Dr Khalilur Rahman serta beberapa pegawai kanan kerajaan sepanjang lawatan berkenaan.
Pada 2025, jumlah perdagangan Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.18 bilion (USD2.84 bilion), dengan eksport Malaysia ke negara itu bernilai RM10.08 bilion (USD2.35 bilion), didominasi produk petroleum.
Import dari Bangladesh pula berjumlah RM2.10 bilion (USD500 juta), membabitkan tekstil, pakaian dan kasut.
Bangladesh merupakan rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia di peringkat global, selain rakan dagang kedua terbesar negara di rantau Asia Selatan selepas India, termasuk sebagai destinasi eksport dan sumber import utama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial