PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM SUSUT SUSULAN PENURUNAN MINYAK SOYA

04/06/2024 10:04 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives susut pada akhir dagangan Selasa, menjejaki kelemahan niaga hadapan minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) dan olein sawit Dalian, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Malah, katanya, jangkaan peningkatan stok simpanan minyak sawit pada minggu-minggu akan datang, juga hanya meningkatkan lagi tekanan harga.

“Harga dijangka mendapat sokongan baik pada RM3,850 satu tan manakala rintangan segera pada RM3,980 satu tan," katanya kepada Bernama.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa pula berkata niaga hadapan MSM menyaksikan penurunan ketara sebanyak 100-170 mata atau lebih empat peratus, termasuk kontrak Ogos jatuh ke paras terendah RM3,898 atau susut 178 mata.

Beliau berkata kerugian ketara dialami kacang soya dalam dagangan semalaman CBOT, ternyata turut  mengheret minyak kekacang jatuh sebanyak tiga peratus dengan kesannya menjejaskan niaga hadapan minyak sayuran Asia.

“Unjuran angka bagi pengeluaran Mei yang kukuh mendorong prospek bekalan lebih tinggi yang memberi kesan kepada niaga hadapan sawit meskipun prestasi eksport bertambah baik," katanya.

Sewaktu ditutup, kontrak Jun 2024 jatuh RM188 kepada RM3,881 satu tan, Julai 2024 susut RM158 kepada RM3,918 dan Ogos 2024 berkurangan RM155 kepada RM3,921.

Selain itu, kontrak September 2024 merosot RM152 kepada RM3,917 satu tan, Oktober 2024 turun RM145 kepada RM3,915 dan November 2024 menguncup RM136 kepada RM3,921.

Jumlah dagangan pula berkurangan kepada 88,393 lot daripada 90,558 lot diraih pada Jumaat manakala kepentingan terbuka menokok kepada 220,556 kontrak daripada 219,011 kontrak, sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan susut RM110 pada RM3,980 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan