PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA KEKAL MENINGKAT PADA TENGAH HARI

18/06/2024 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan peningkatannya pada tengah hari Selasa, didorong oleh sokongan belian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih yang didahului oleh saham perladangan dan produk pengguna.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.27 peratus atau 4.39 mata kepada 1,611.71 daripada penutupan Jumaat lepas iaitu 1,607.32.

FBM KLCI dibuka 2.07 mata lebih tinggi pada 1,609.39 dan bergerak antara 1,609.39 dan 1,615.09 sepanjang sesi pagi. 

Bagaimanapun, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 639 berbanding 460 manakala 472 kaunter tidak berubah, 829 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 3.58 bilion unit bernilai RM2.06 bilion.

Selain itu, sentimen bursa tempatan itu juga disokong oleh prestasi positif kebanyakan negara Asia yang menjejaki prestasi semalaman Wall Street dengan syarikat teknologi memacu pasaran.

Di Bursa Malaysia, aktiviti memburu saham-saham berharga rendah melibatkan saham wajaran tinggi terpilih, termasuk SD Guthrie, yang menambah 9.0 sen kepada RM4.31 dan IOI Corp yang naik 6.0 sen kepada RM3.83.

Sime Darby meraih 4.0 sen kepada RM2.57, Petronas Gas meningkat 24 sen kepada RM17.90 dan PPB meningkat 18 sen kepada RM14.58. 

Selain Petronas Gas dan PPB Group, ATA IMS lebih baik 16.5 sen pada 51 sen, Frontken menokok 16 sen kepada RM4.64 dan KESM naik 13 sen kepada RM7.54. 

ATA IMS juga mendahului kaunter paling aktif dan diikuti oleh Divfex yang naik 3.0 sen kepada 23 sen, Ingenieur Gudang meraih 1.0 sen kepada 7.5 sen, K-One menambah 2.0 sen kepada 29 sen manakala JCY susut 3.0 sen kepada 86.5 sen. 

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meningkat 19.54 mata kepada 12,405.99, Indeks FBMT 100 menokok 23.29 mata kepada 11,971.07 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 36.21 mata kepada 12,763.69.

Indeks FBM 70 bagaimanapun, berkurangan 2.13 mata kepada 18,148.68 dan Indeks FBM ACE turun 7.55 mata kepada 5,894.93.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 12.90 mata kepada 17,592.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.26 mata kepada 200.13, Indeks Tenaga meningkat 3.07 mata kepada 990.97 dan Indeks Perladangan menokok 31.23 mata kepada 7,039.73.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan