PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM SUSUT BERIKUTAN PENINGKATAN PARAS STOK KESELURUHAN

10/07/2024 09:50 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Rabu berikutan peningkatan paras stok keseluruhan yang dilaporkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi Jun, menurut peniaga sawit David Ng.

Beliau berkata sentimen pasaran turut terjejas dengan pengeluaran yang dijangka lebih tinggi dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

"Kami mengesan paras sokongan harga pada RM3,850 satu tan dan rintangan pada RM4,050," kata Ng kepada Bernama.

Laporan MPOB memaklumkan peningkatan stok minyak sawit sebanyak 4.35 peratus kepada 1.83 juta tan pada Jun 2024 daripada 1.75 juta tan pada Mei 2024.

Dalam laporan prestasi industri pada Jun 2024, MPOB berkata stok MSM negara merosot kepada 925,165 tan pada Jun daripada 979,019 tan yang direkodkan pada Mei.

MPOB berkata stok minyak sawit diproses meningkat kepada 904,304 tan pada Jun daripada 774,192 tan sebelumnya.

Pengeluaran MSM merosot kepada 1.62 juta tan pada Jun daripada 1.70 juta tan pada bulan sebelumnya manakala pengeluaran isirung sawit berkurangan kepada 367,852 tan daripada 408,326 tan sebelumnya, katanya.

Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Julai 2024 dan Ogos 2024 masing-masing susut RM17 kepada RM3,998 satu tan dan RM3,963 satu tan.

Kontrak September 2024 berkurangan RM41 kepada RM3,918 satu tan, Oktober 2024 merosot RM52 kepada RM3,897 satu tan, November 2024 susut RM53 kepada RM3,891 satu tan, dan Disember 2028 rendah RM51 kepada RM3,589 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 107,394 lot daripada 81,428 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 229,364 kontrak daripada 235,174 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan lebih rendah sebanyak RM30 pada RM4,050 setiap tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan