PASARAN > BERITA

MINAT RISIKO KETARA, RINGGIT DIBUKA MENGUKUH BERBANDING DOLAR AS

17/07/2024 08:56 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Ringgit mengukuh sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Rabu ketika minat terhadap risiko kembali ketara dengan penanda aras ekuiti negara maju itu terus meningkat didorong oleh jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengurangkan kadar faedah.

Pada jam 8 pagi ini, nilai ringgit menokok ke paras 4.6700/6800 berbanding dolar AS daripada 4.6745/6790 di akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pengumuman data ekonomi AS baru-baru ini, hanya mengukuhkan lagi andaian bahawa pihak Fed akan mengurangkan kadar faedah utama negara itu.

“Laporan sebelum ini menunjukkan data Jualan Runcit AS mendatar pada 0.0 peratus bagi bulan ke bulan pada Jun dengan banyak pihak menjangkakan kadar pertumbuhan pada -0.3 peratus manakala bulan sebelunya 0.3 peratus,” katanya kepada Bernama.

Di sebalik perkembangan itu, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat sedikit sebanyak 0.05 peratus kepada 104.239, sekali gus menunjukkan dolar AS kekal mendapat sokongan baik.

Dalam pada itu di peringkat tempatan, ringgit diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Ini termasuk meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9493/9560 daripada 2.9503/9534 semalam, naik berbanding pound Britain kepada 6.0603/0732 daripada 6.0614/0673 sebelum ini dan mengukuh berbanding euro kepada 5.0912/1021 daripada 5.0938/0987.

Ringgit bagaimanapun diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Prestasi ringgit meningkat semula berbanding dolar Singapura kepada 3.4747/4827 daripada 3.4783/4819, meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 288.5/289.4 daripada 288.8/289.3 sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9683/13.0025 daripada 12.9459/9634 semalam dan mendatar berbanding peso Filipina pada 8.00/8.02 daripada 8.00/8.01 sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan