PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA TERUSKAN MOMENTUM, INDEKS KOMPOSIT CECAH 1,638 PADA TENGAH HARI

17/07/2024 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan momentum peningkatannya apabila mengakhiri sesi dagangan pagi ini dengan lebih tinggi, seiring prestasi di kebanyakan pasaran serantau ketika peniaga menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menurunkan kadar faedah.

Pada 12.30 tengah hari, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 10.66 mata atau 0.66 peratus kepada 1,636.62 daripada 1,625.96 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu memulakan sesi pagi ini dengan menokok 4.02 mata kepada 1,629.98 dan bergerak dalam julat 1,629.89 hingga 1,638.03 sepanjang sesi berkenaan.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 691 berbanding 380 manakala 486 kaunter lain tidak berubah, 891 kaunter tidak diniagakan dan enam lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.93 bilion unit bernilai RM1.75 bilion.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata kalangan peniaga akan memberi tumpuan terhadap pengumuman data perindustrian serta pengangguran AS pada minggu ini.

Di peringkat serantau, pasaran Nikkei 255 susut 0.36 peratus kepada 41,129.68, Indeks Straits Times Singapura naik 0.08 peratus kepada 3,490.73 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 0.06 peratus kepada 17,739.42.

Di pasaran tempatan, saham-saham wajaran tinggi Bursa Malaysia menunjukkan prestasi yang bercampur-campur dengan TNB meraih 12 sen kepada RM14.58, Public Bank naik empat sen kepada RM4.17, CIMB meningkat tiga sen kepada RM7.18, IHH Healthcare menambah dua sen kepada RM6.37, Petronas Gas kekal pada RM18.12 manakala Maybank susut dua sen kepada RM10.08

Bagi saham aktif, Ekovest dan Berjaya Corp masing-masing meningkat empat sen kepada 55.5 sen dan 39.5 sen, WCT naik tujuh sen kepada RM1.23 dan Censof menokok 2.5 sen kepada 41 sen, Velesto pada 23.5 sen manakala Computer Forms susut setengah sen kepada 16 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 100.21 mata kepada 12,700.94, Indeks FBMT 100 menokok 93.74 mata kepada 12,266.87, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 135.91 mata kepada 13,108.50, Indeks FBM 70 meningkat 195.48 mata kepada 19,004.70 manakala Indeks FBM ACE meraih 57.81 mata kepada 6,020.89.  

Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 49.30 mata kepada 17,950.36, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.21 mata kepada 201.33, Indeks Perladangan melonjak 73.95 mata kepada 7,056.25 namun Indeks Tenaga susut 3.98 mata kepada 972.22.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan