PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA HAMPIR MENDATAR PADA AWAL DAGANGAN, DIPENGARUHI PRESTASI WALL STREET

19/07/2024 10:08 AM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia hampir mendatar semasa awal dagangan pada Jumaat berikutan pasaran secara keseluruhannya suram, mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang negatif dalam tempoh semalaman.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 0.14 mata kepada 1,633.95 daripada 1,633.81 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks itu dibuka 0.25 mata lebih tinggi kepada 1,634.06.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 328 berbanding 149, manakala 338 kaunter tidak berubah, 1,643 kaunter tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 238.69 juta unit bernilai RM137.88 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pembetulan berterusan di Wall Street mungkin mengakibatkan turun naik yang ketara di rantau ini dan indeks penanda aras tersebut dijangka berada dalam julat kecil di antara 1,630 dengan 1,640 hari ini.

“FBM KLCI ditutup (hampir) mendatar pada Khamis dan dapat kekal di atas paras penting 1,630 susulan aktiviti belian pada minit-minit terakhir. Keadaan pasaran nampaknya kekal kukuh, dengan kami menjangkakan pembelian saham berterusan,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM10.12, Press Metal menambah sembilan sen kepada RM5.59, Hong Leong Bank dan YTL Corp masing-masing meningkat empat sen kepada RM19.04 dan RM3.64, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM14.44 dan RM6.34, manakala Public Bank susut satu sen kepada RM4.24 dan CIMB turun dua sen kepada RM7.13.

Antara kaunter paling aktif, Sarawak Consolidated naik dua sen kepada 30 sen, Sin-Kung Logistics dan Ahmad Zaki Resources masing-masing menokok setengah sen kepada 18 sen dan 34 sen, Haily Group melonjak 6.5 sen kepada 83.5 sen, IFCA MSC naik dua sen kepada 80 sen, Dataprep tidak berubah pada 23 sen dan MYEG turun setengah sen kepada 99.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 12.65 mata kepada 12,663.77, Indeks FBMT 100 kurang 9.56 mata kepada 12,237.12, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 21.83 mata kepada 13,031.46, Indeks FBM 70 merosot 53.29 mata kepada 18,923.41 dan Indeks FBM ACE turun 14.14 mata kepada 5,984.96.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 11.98 mata kepada 17,988.25, Indeks Tenaga turun 1.24 mata kepada 971.02, Indeks Perladangan naik 12.27 mata kepada 7,113.67 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.12 mata kepada 196.95.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan