PASARAN > BERITA

MINAT BELIAN SEIRING JUALAN, BURSA MALAYSIA KEKAL RENDAH PADA TENGAH HARI

25/07/2024 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Khamis dengan lebih rendah, susulan minat belian berselang-seli dengan aktiviti jualan membabitkan saham-saham wajaran tinggi.

Daripada kelompok 30 konstituen indeks, sebanyak 16 kaunter susut, sejumlah 10 lain untung manakala empat tidak berubah.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.44 mata kepada 1,616.70 daripada 1,621.14  yang dicatat pada akhir dagangan semalam.

Indeks itu dibuka susut 4.06 mata pada 1,617.08 dan bergerak dalam julat 1,610.58 hingga 1,618.00 pada sesi dagangan awal.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 859 berbanding 224 manakala 445 kaunter tidak berubah, 960 tidak diniagakan dan 17 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.79 bilion unit bernilai RM1.45 bilion.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan lebih banyak aktiviti pengambilan untung di peringkat tempatan, di tengah-tengah perkembangan berkaitan kecerdasan buatan (AI) di pasaran Amerika Syarikat (AS).

“Bagaimanapun, kami percaya ini sebaliknya menjadi peluang untuk membeli saham terjejas, terutama yang berkaitan dengan pusat data di pasaran tempatan.

“Pilihan kami adalah segmen pembinaan, utiliti dan bahan binaan. Selain itu, kami juga memilih saham dalam sektor perkapalan dan teknologi berikutan aliran peningkatannya yang terus ketara,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Public Bank naik 2.0 sen kepada RM4.20, IHH Healthcare menokok 3.0 sen kepada RM6.28 manakala Maybank susut 2.0 sen kepada RM10.10, Tenaga Nasional merosot 16.0 sen kepada RM14.24 dan CIMB Group turun 3.0 sen kepada RM7.17.

Bagi saham aktif, OCR Group menambah setengah sen kepada 11 sen, Zen Tech International dan Hubline tidak berubah pada 1.0 sen dan 13 sen manakala Artroniq dan Ekovest turun 1.0 sen masing-masing pada 20 sen dan 48 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menguncup 57.75 mata kepada 12,490.07, Indeks FBMT 100 kehilangan 52.07 mata kepada 12,073.59, Indeks FBM Emas Syariah turun 86.38 mata kepada 12,790.50, Indeks FBM 70 merosot 148.91 mata kepada 18,545.48 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 30.62 mata kepada  5,826.24.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perladangan turun 19.39 mata kepada 7,153.25, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 1.03 mata kepada 192.28 dan Indeks Tenaga berkurangan 5.37 mata kepada 960.66.

Indeks Perkhidmatan Kewangan sebaliknya meraih 4.22 mata kepada 17,954.52.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan