PASARAN > BERITA

Ringgit Dijangka Naik Berbanding Dolar Us Minggu Depan

27/07/2024 10:35 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Ringgit dijangka naik berbanding dolar US minggu depan, disokong oleh jangkaan pasaran bahawa Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedah.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran menjangkakan AS akan menurunkan kadar faedah, seiring dengan unjuran Kebarangkalian Kadar Faedah Dunia (WIRP).

Alat WIRP, yang digunakan oleh pedagang, menjangkakan 105.5 peratus kebarangkalian untuk Rizab Persekutuan AS (Fed) menurunkan penanda aras kadar faedah pada bulan September.

“Ringgit mungkin kekal sekitar paras RM4.64 dan RM6.45 pada beberapa minggu akan datang dengan data ekonomi AS menjadi faktor kritikal untuk dipantau.

“Ketika ini, paras sokongan semasa adalah pada RM4.6505. Jika USD/MYR melepasi paras ini, tahap sokongan seterusnya ialah pada RM4.6140,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata Indeks Pengurus Pembelian (IPP) AS untuk pembuatan dijangka kekal pada 49.0 mata pada bulan Julai, kekal di bawah 50.

Selain itu, data Gaji Bukan Ladang (NFP) AS dijangka turun kepada 175,000 pada Julai daripada 206,000 pada Jun dengan kadar pengangguran kekal stabil pada 4.1 peratus.

“Secara keseluruhannya, penurunan kadar faedah mungkin akan berlaku, seljajar dengan ramalan WIRP,” katanya.

Sepanjang minggu lepas, kadar pertukaran ringgit dan dolar US bergerak setinggi 4.6550/6605 pada 26 Julai dan serendah 4.6805/6835 pada 22 Julai.

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit adalah pada paras RM4.65 ditutup pada 4.6550/6605 berbanding dolar US berbanding  4.6840/6875 minggu sebelumnya.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding euro kepada 5.0530/0590 daripada 5.0957/0995, tinggi berbanding pound Britain kepada 5.9901/9971 daripada 6.0452/0497 Jumaat lepas bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0176/0214 daripada 2.9760/9786 minggu sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan melonjak berbanding peso Filipina kepada 7.97/7.99 daripada 8.03/8.04 minggu sebelumnya dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 285.5/286.0 daripada 289.3/289.7.

Mata wang tempatan dolar Singapura kepada 3.4641/4684 daripada 3.4833/4862 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.9069/9268 daripada 12.9075/9221 Jumaat lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan