PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan Emas Dijangka Didagangkan Lebih Tinggi Minggu Depan

27/07/2024 10:42 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan lebih tinggi minggu depan, sejajar dengan pergerakan harga emas COMEX.

Penganalisis Kanan Pasaran OANDA, Kelvin Wong memberitahu Bernama, terdapat korelasi langsung antara harga emas dengan kemungkinan Donald Trump akan memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS).

Beliau mengaitkan hubungan itu dengan dasar fiskal Trump, khususnya pemotongan cukai korporat yang ketara, yang merupakan sebahagian daripada agenda ekonominya yang dikenali sebagai "Trumponomics";.

"Ini adalah baik untuk emas, bertindak sebagai pelindung nilai semasa penguasaan fiskal yang mungkin menyebabkan peserta pasaran mempersoalkan kedudukan kredit dan kesolvenan kerajaan AS,” kata Wong.

Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak Julai 2024 tidak berubah dan berada pada US$2,372.40 setiap auns troy.

Kontrak untuk Ogos 2024, September 2024, Oktober 2024, Disember 2024 dan Februari 2025 semuanya ditambat pada US$2,385.80 berbanding US$2,434.10 setiap auns troy sebelum ini.

Jumlah dagangan menokok kepada 110 lot berbanding 107 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 53 kontrak daripada 36 kontrak.

Harga emas fizikal berada pada US$2,364.20 setiap auns troy, berdasarkan penetapan petang Persatuan Pasaran Bullion London pada 25 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan