PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Malaysia Dijangka Lembap Minggu Depan

27/07/2024 10:33 AM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Pasaran getah tempatan dijangka mengalami permintaan hambar minggu depan manakala harga mungkin berjajaran kecil dengan kecenderungan tinggi sedikit, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata keadaan cuaca yang tidak menentu di kawasan pengeluar getah akan menjejaskan pengeluaran sekali gus mendorong aktiviti pengisian semula stok.

“Ini akan mendorong kenaikan harga berikutan bekalan mungkin berkurangan," katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata gangguan penghantaran susulan krisis berterusan di Laut Merah, serta situasi geopolitik semasa, telah menjejaskan rantaian bekalan.

Low berkata keadaan itu mungkin menyebabkan harga komoditi tidak menentu kerana pertempuran berterusan di Laut Merah terus mengganggu laluan perkapalan.

“Ada permintaan stok yang sekali-sekala dan meningkat, dan peniaga perlu berhati-hati kerana penggunaan kekal lembap,” katanya.

Beliau berkata permintaan dan harga komoditi hanya boleh meningkat apabila perniagaan dan industri stabil.

Sementara itu, Lembaga Getah Malaysia (LGM) menjelaskan peniaga akan menyemak data inflasi utama Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada Jumaat (26 Julai) untuk mendapatkan lebih banyak petunjuk mengenai pengurangan kadar faedah selain memantau geopolitik di Timur Tengah.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan bagi getah fizikal oleh LGM untuk Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 meningkat 0.5 sen kepada 772.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal menokok 10.5 sen kepada 625.5 sen.

Pada 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal oleh LGM untuk GMM 20 berada pada 767 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 626.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan