PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari

31/07/2024 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Indeks penanda aras Bursa Malaysia meningkat lagi pada tengah hari seiring dengan prestasi bursa saham serantau yang memberangsangkan menjelang keputusan mengenai penurunan kadar Rizab Persekutuan (Fed) AS yang akan dikeluarkan lewat hari itu.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.75 mata atau 0.42 peratus kepada 1,618.69 daripada 1,611.94 semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.39 mata kepada 1,613.33, seterusnya bergerak antara 1,611.60 dan 1,619.64 sepanjang sesi dagangan pagi.

Bagaimanapun, bagi pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 686 berbanding 298, dengan 421 kaunter tidak berubah, 1,044 tidak diniagakan dan 54 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.57 bilion unit bernilai RM1.41 bilion.

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata pasaran Asia ditutup lebih rendah pada Selasa disebabkan pelabur menunggu mesyuarat dasar Bank of Japan (BoJ) (31 Julai), Fed AS (31 Julai) dan Bank of England  (1 Ogos) minggu ini serta data ekonomi AS dan laporan pendapatan utama AS.

Di peringkat tempatan, ia berkata selepas mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun pada 1,638 pada 19 Julai, FBM KLCI terus menurun kepada 1,611.9 ketika ditutup semalam.

“Memasuki bulan Ogos, FBM KLCI dijangka meneruskan penyatuannya apabila pelabur mempertimbangkan tinjauan dasar bank pusat utama yang akan datang, pendapatan korporat AS yang berlanjutan dan keputusan Bursa Malaysia pada Ogos kelak,” katanya.

HLIB berkata tanpa mengambil kira keadaan di luar jangka paras sokongan di bawah 1,600-1,606, indeks penanda aras mungkin meneruskan trajektori menaiknya antara1,638-1,650-1,660 selepas penyatuan.

"Sebaliknya, kegagalan untuk bertahan menghampiri paras sokongan 1,600-1,606 boleh menyebabkan indeks lebih rendah kepada julat 1,576-1,590," katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 4.0 sen kepada RM10.12, Public Bank melonjak 2.0 sen kepada RM4.20, CIMB naik 15 sen kepada RM7.36 dan IHH Healthcare menambah 8.0 sen kepada RM6.30 manakala Tenaga Nasional merosot 2.0 sen kepada RM14.08.

Daripada kaunter paling aktif, Velesto Energy naik 0.5 sen kepada 22.5 sen, Berjaya Corporation meningkat 1.0 sen kepada 42 sen, Velocity Capital Partner merosot 0.5 sen kepada 7.0 sen, Top Glove jatuh 8.0 sen kepda RM1.01 manakala Alam Maritim tidak berubah pada 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 5.55 mata kepada 12,474.25, Indeks FBMT 100 meningkat 9.52 mata kepada 12,069.56 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 43.66 mata kepada 12,737.94, Indeks FBM 70 jatuh 134.68 mata kepada 18,470.34 dan Indeks FBM ACE merosot 65.79 mata kepada 5,721.53.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 18.93 mata kepada 7,187.98, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.30 mata kepada 191.58, Indeks Tenaga merosot 3.76 mata kepada 959.66, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 115.99 mata kepada 18,071.42.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan