PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi

16/08/2024 10:30 AM

Oleh Rosemarie Khoo

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi, disokong oleh minat belian yang menyeluruh dengan kenaikan semalaman di Wall Street, kata penganalisis.

Pada 9.03 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 10.37 mata kepada 1,623.31 daripada 1,612.94 pada Khamis.

Indeks memulakan hari ini dengan naik 9.26 mata kepada 1,622.20.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 303 berbanding 55, dengan 180 kaunter tidak berubah, 1,948 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 94.99 juta unit bernilai RM54.23 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata corak dagangan hari ini dijangka kekal sama seperti semalam berikutan kekurangan pemangkin baharu.

Beliau berkata indeks petunjuk pasaran dijangka diniagakan dalam julat 1,610 hingga 1,620 mata. 

Pada Khamis, FBM KLCI ditutup mendatar walaupun terdapat sokongan belian yang berterusan daripada dana asing berikutan sentimen bursa tempatan secara keseluruhan kekal tidak memberangsangkan. 

Sementara itu, Wall Street melonjak berikutan peniaga optimis mengenai ekonomi Amerika Syarikat (AS) susulan data runcit pada Julai yang lebih baik daripada jangkaan dan penurunan tuntutan pengangguran pada minggu ini.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng (HSI) ditutup rendah semalam walaupun sesi pembukaan kukuh berikutan sentimen menjadi berhati-hati susulan data ekonomi yang bercampur-campur dari China.

Dalam dagangan saham wajaran tinggi, CIMB meningkat 9.0 sen kepada RM7.62, Tenaga dan Telekom, masing-masing menambah 10.0 sen kepada RM13.94 dan RM6.99, YTL Power International naik 6.0 sen kepada RM4.46 dan YTL Corporation menokok 4.0 sen kepada RM3.50. 

Dalam kalangan kaunter paling aktif, Hextar Healthcare naik 1.0 sen kepada 25 sen, Pestech merosot 2.0 sen kepada 15 sen, Jiankun International tidak berubah pada 6.0 sen dan Cape EMS meningkat 1.0 sen kepada 44 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 77.83 mata kepada 12,317.65, Indeks FBMT 100 meningkat 74.92 mata kepada 11,962.60 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 95.07 mata kepada 12,406.79.  

Indeks FBM 70 melonjak 105.78 mata kepada 17,789.63 dan Indeks FBM ACE naik 46.03 mata kepada 5,358.10.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 61.76 mata kepada 18,349.82, Indeks Perladangan meningkat 38.26 mata kepada 7,180.65, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.24 mata kepada 181.86 dan Indeks Tenaga menokok 12.58 mata kepada 941.10.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan