PASARAN > BERITA

Ringgit Berlegar Sekitar Tahap Semasa Minggu Depan

17/08/2024 10:24 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Ringgit dijangka kekal pada paras semasa 4.43 hingga 4.45 berbanding dolar US minggu depan dalam sentimen berhati-hati menjelang beberapa siri pengumuman oleh pegawai Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengenai ekonomi negara itu.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran akan tertumpu pada ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell semasa Simposium Jackson Hole Jumaat depan.

“Pada keadaan semasa, semua data menunjukkan akan ada pemotongan kadar dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS yang akan datang menjelang September. Isu utama adalah mengenai kuantum penurunan kadar serta keupayaan Fed untuk mendapatkan impak yang lebih stabil memandangkan perbincangan mereka akan memperlihatkan kemungkinan kemelesetan ekonomi AS,” katanya kepada Bernama.

Untuk minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan lebih baik dengan jangkaan pertumbuhan kukuh ekonomi Malaysia, yang mencatat pertumbuhan 5.9 peratus pada suku kedua, mengatasi unjuran. Ia mencecah semula paras 4.41 berbanding dolar US pada Rabu lepas, paras paling kukuh mata wang itu dalam 16 bulan.

Bagaimanapun, pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 4.4295/4350 berbanding dolar US daripada 4.4200/4280. Ringgit juga kebanyakannya diniagakan lemah berbanding mata wang utama lain.

Ia turun berbanding euro kepada 4.8680/8741 daripada 4.8253/8340, susut nilai berbanding pound British kepada 5.7167/7238 daripada 5.6373/6475 tetapi mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9792/9833 daripada 3.0019/0075 yang dicatatkan dalam minggu sebelumnya.

Ringgit juga merosot berbanding mata wang ASEAN.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3582/3627 daripada 3.3381/3444 dan turun berbanding baht Thai kepada 12.6445/6656 daripada 12.5234/5514. Mata wang tempatan itu juga dilihat kurang bermaya berbanding peso Filipina kepada 7.74/7.75 daripada 7.71/7.73 dan melembap berbanding rupiah Indonesia kepada 282.2/282.7 daripada 277.5/278.2.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan