PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Bergerak Dalam Jajaran Terhad Minggu Depan

17/08/2024 10:29 AM

Oleh Rosemarie Khoo

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran terhad minggu depan seiring dengan pasaran tunai pendasar. 

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks petunjuk pasaan itu dijangka bergerak dalam jajaran 1,610-1,632 minggu depan apabila momentum menunjukkan kemungkinan menuju ke arah paras rintangan pada 1,632.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management  Stephen Innes berkata sekiranya ekonomi Amerika Syarikat boleh mengawal inflasinya, Bursa Malaysia berpotensi meningkat ke paras 1,620-1,630 minggu depan.

“Dengan asas tempatan yang kukuh dan situasi global yang memberi impak positif kepada kita, saya menjangkakan akan berlaku banyak pergerakan meningkat,” katanya kepada Bernama. 

Bagi minggu yang baru berakhir ini, kontrak Ogos 2024 meningkat 31.5 mata kepada 1,625, September 2024 naik 30.5 mata kepada 1,606, manakala Disember 2024 dan Mac 2025 menokok 31.0 mata setiap satu masing-masing kepada 1,612 dan 1,598.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, jumlah dagangan turun kepada 38,107 lot daripada 76,617 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka susut kepada 48,130 kontrak daripada 48,975 kontrak.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI naik 27.85 mata kepada 1,623.90 daripada paras 1,596.05 pada minggu sebelumnya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan