PASARAN > BERITA

PuTERA35 Dapat Bantu Tingkat Penyenaraian Syarikat Bumiputera Di Bursa Malaysia - Wahid

19/08/2024 08:27 PM

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) akan dapat membantu meningkatkan lagi penyenaraian syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata setakat 2022, daripada 945 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia hanya tujuh peratus iaitu 62 syarikat yang mewakili syarikat Bumiputera.  

“Dengan penguasaan dan penglibatan yang lebih saksama dalam ekonomi negara (menerusi PuTERA35) ia akan memberikan peluang yang saksama kepada Bumiputera dalam perniagaan dan juga sektor pekerjaan.

“Saya rasa akan banyak lagi syarikat Bumiputera yang dapat disenaraikan pada masa hadapan,” katanya selepas Majlis Peluncuran PuTERA35, di sini, hari ini.

Sementara itu, Wahid berkata selain industri minyak dan gas, tenaga boleh baharu dan teknologi juga merupakan antara bidang yang boleh diperkasa atau dipertingkatkan oleh syarikat Bumiputera di Malaysia. 

“Jika dilihat data sebelum ini, pemilikan ekuiti oleh Bumiputera di Malaysia adalah sekitar 20 peratus.

“Kita mahukan Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur, inklusif dan mampan yang mana tidak ada golongan yang tertinggal, termasuk bukan Bumiputera,” katanya. 

PuTERA35 yang diluncurkan oleh Perdana Menteri hari ini disokong oleh tiga teras, 12 pemacu dan 132 ikhtiar yang komprehensif, berani, berpandangan jauh dan lebih inklusif.

Ia merupakan anjakan besar dalam membawa pembangunan Bumiputera ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau. 

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan