PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Hampir Tidak Berubah, Dipengaruhi Prestasi Hambar Wall Street

21/08/2024 10:18 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka hampir tidak berubah pada Rabu, mencerminkan prestasi hambar di Wall Street dalam tempoh semalaman.

Pada pukul 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.37 mata kepada 1,642.40 daripada 1,642.77 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 1.05 mata lebih rendah kepada 1,641.72.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 209 berbanding 169 manakala 280 kaunter kekal tidak berubah, 1,822 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 154.74 juta unit bernilai RM121.03 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bursa tempatan diyakini masih mempunyai ruang untuk berada dalam aliran lebih tinggi, kerana jualan semalam tidak akan berlanjutan.

“Walaupun jumlah dagangan harian kekal rendah, kami percaya hala tuju pasaran bertambah baik, dan kami menjangkakan aktiviti dagangan meningkat dari semasa ke semasa.

“Bagi hari ini, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,640 hingga 1,650," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata memandangkan musim pelaporan pendapatan korporat masih belum berakhir, prestasi kewangan yang dilaporkan setakat ini adalah memuaskan, dengan hasil positif seterusnya dijangkakan daripada bank dan syarikat telekomunikasi.

Antara saham berwajaran tinggi, CIMB Group meningkat 9.0 sen kepada RM7.94, Maybank turun 2.0 sen kepada RM10.58, Public Bank berkurang 3.0 sen kepada RM4.64, dan Tenaga Nasional merosot 10 sen kepada RM13.90 manakala IHH Healthcare kekal pada RM6.32.

Antara saham aktif, MY E.G. Services naik 4.5 sen kepada 95 sen dan Bina Puri menambah 1.0 sen kepada 39.5 sen.

Sementara itu, Cape EMS turun 0.5 sen kepada 39.5 sen, YTL Power susut 8.0 sen kepada RM3.78, dan Wentel Engineering kekal pada 33.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 10.88 mata kepada 12,440.65, Indeks FBMT 100 naik 9.11 mata kepada 12,097.72, Indeks FBM Emas Syariah bertambah 3.93 mata kepada 12,363.11 dan Indeks FBM 70 menokok 57.47 mata kepada 17,970.11.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE turun 0.22 mata kepada 5,329.37.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 36.05 mata kepada 19,233.20 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menambah 0.28 mata kepada 181.88.

Indeks Tenaga menurun 1.63 mata kepada 932.92, dan Indeks Perladangan kurang 0.41 mata kepada 7,145.74.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan