PASARAN > BERITA

Untung Bersih IOI Corp Bagi Tahun Kewangan 2024 Susut Kepada RM1.109 Bilion

26/08/2024 08:19 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- IOI Corporation Bhd (IOI Corp) mencatat keuntungan bersih lebih rendah bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024, kepada RM1.109 bilion daripada RM1.114 bilion bagi tempoh sama 2023.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata perolehan hasilnya turut berkurangan kepada RM9.603 bilion daripada RM11.583 bilion, sebelum ini.

Asas keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.380 bilion bagi tahun kewangan 2024 juga susut 23 peratus daripada RM1.782 bilion bagi tahun kewangan 2023, terutamanya berikutan sumbangan lebih rendah daripada segmen pengeluaran berasaskan sumber, diimbangi oleh sumbangan segmen perladangan.

Bagi suku keempat 2024, syarikat itu berkata keuntungan bersihnya mencecah RM346.90 juta berbanding RM37.20 juta bagi suku sama setahun lepas manakala hasil berjumlah RM2.539 bilion berbanding RM1.950 bilion. 

Menyentuh prospek, syarikat itu positif mengenai prestasi operasi dan kewangan segmen perladangan bagi tahun kewangan 2025, didorong oleh unjuran peningkatan pengeluaran buah tandan segar (BTS) bagi tempoh berkenaan berbanding tahun kewangan sebelumnya walaupun program penanaman semula di Sabah kini giat dilaksanakan.

Pertumbuhan itu juga dijangka dipacu oleh peningkatan produktiviti tenaga kerja di Semenanjung Malaysia selain prestasi BTS lebih baik daripada pokok lebih muda.

Susulan itu, kos pengeluaran minyak sawit mentah juga dijangka lebih rendah berbanding tahun kewangan 2024, katanya.

Merujuk prestasi ringgit, syarikat itu menjangkakan mata wang berkenaan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi tahun kewangan 2025, didorong oleh pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi separuh pertama 2024 selain jangkaan penurunan kadar faedah AS menjelang akhir tahun ini.

“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan prestasi operasi dan kewangan bagi tahun kewangan 2025 lebih berdaya tahan dan memuaskan,” katanya.

Sementara itu, IOI Corp turut mengumumkan dividen interim satu peringkat kedua sebanyak 5.0 sen sesaham biasa yang dibayar pada 26 Sept, 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan