PASARAN > BERITA

Pasaran Serantau Susut, Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari

08/10/2024 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah setakat dagangan tengah hari Selasa, menjejaki prestasi kebanyakan pasaran serantau lain yang diasak kenaikan harga minyak mentah dunia ketika ketegangan konflik Timur Tengah terus menjejaskan sentimen, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 2.60 mata atau 0.15 peratus kepada 1,632.69 daripada 1,635.29 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu yang dibuka susut 3.66 mata pada 1,631.63, bergerak dalam julat 1,629.22  hingga 1,633.60 sepanjang sesi dagangan awal.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 585 berbanding 288 dengan 460 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,090 tidak diniagakan dan enam lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.89 bilion unit bernilai RM1.11 bilion.

Dalam nota penyelidikannya, Malacca Securities Sdn Bhd berkata harga minyak mentah Brent meningkat lebih US$81 setong susulan ketegangan di Timur Tengah yang meruncing dan berpotensi menjejaskan bekalan minyak Teluk Parsi manakala emas di bawah US$2,650.

"Minyak sawit mentah (MSM) diniagakan hampir RM4,400 satu tan menjelang musim perayaan Deepavali,” katanya.

Firma pembrokeran itu juga percaya peniaga berkemungkinan besar menumpukan saham-saham minyak dan gas serta perladangan dalam masa terdekat ini susulan peningkatan harga minyak dan MSM.

“Selain itu, kami juga menjangkakan berlakunya aktiviti belian saham teknologi yang sederhana berikutan penurunan kecil ringgit apabila gandingan mata wang dolar AS dan ringgit (USD/MYR) pulih semula daripada RM4.11 kepada RM4.27 semalam.

“Bagaimanapun, aliran pengukuhan itu mungkin dikekang oleh prestasi Wall Street yang lemah,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank rugi dua sen kepada RM10.48; Public Bank, CIMB dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM4.56, RM7.96 dan RM7.22 manakala Tenaga Nasional meraih lapan sen kepada RM14.06. 

Bagi saham aktif, Velocity Capital turun setengah sen kepada 6.5 sen, KHPT Holdings menambah 2.5 sen kepada 22.5 sen, 99 Speed Mart naik tujuh sen kepada RM2.40; Bina Puri meraih setengah sen kepada 36.5 sen manakala Bumi Armada tidak berubah pada 51.5 sen. 

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas berkurangan sebanyak 32.69 mata kepada 12,224.09; Indeks FBMT 100 turun 26.83 mata kepada 11,922.63; Indeks FBM 70 merosot 68.35 mata kepada 17,326.67 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 44.30 mata kepada 12,129.39.  

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE mengukuh 0.48 mata kepada 5,130.31.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perladangan menokok 4.59 mata kepada 7,216.81; Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 8.35 mata kepada 19,182.42; Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menguncup 0.73 mata kepada 176.96 manakala Indeks Tenaga turun 1.85 mata kepada 897.20.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan