PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi

14/10/2024 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Isnin berikutan minat belian dalam perbankan, telekomunikasi dan saham berkaitan komoditi.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.18 peratus atau 2.99 mata kepada 1,636.54.

Indeks, yang dibuka tinggi 3.62 mata kepada 1,637.17, bergerak antara 1,632.37 dan 1,642.56 sepanjang sesi dagangan.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 654 berbanding 341 manakala 497 kaunter tidak berubah, 973 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.23 bilion unit bernilai RM2.09 bilion daripada 2.29 bilion unit bernilai RM2.67 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks penanda aras kekal dalam mod penyatuan, berlegar melebihi paras sokongan utama 1,630.

Beliau berpendapat sekiranya melebihi rintangan utama 1,650, boleh menandakan aliran menaik yang lebih mampan.

“Prospek jangka panjang ekuiti Malaysia kekal optimis, disokong oleh keadaan ekonomi negara yang semakin baik dan digabungkan oleh pelaburan langsung asing (FDI) dalam jumlah yang tinggi khususnya dalam sektor teknologi, pusat data dan berkaitan, dijangka menyokong pemulihan pasaran.

"Kami menjangkakan indeks penanda aras akan berada dalam aliran dalam julat 1,630-1,650 untuk minggu ini, mewakili paras sokongan dan rintangan serta-merta," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI menyaksikan pertumbuhan sederhana hari ini apabila jangkaan meningkat untuk pengumuman Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini.

Beliau berkata sentimen pasaran hari ini amat memberangsangkan pada sektor teknologi kerana pusat data dijangka menjadi antara penerima utama langkah fiskal yang akan datang.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi,Petronas Dagangan naik 34 sen kepada RM18.32, Public Bank melonjak 8.0 sen kepada RM4.39 dan Kuala Lumpur Kepong menokok 38 sen kepada RM21.40, CelcomDigi menambah 5.0 sen kepada RM3.61 manakala Sime Darby meningkat 2.0 sen kepada RM2.46.

Bagi saham aktif, EA Holdings tidak berubah pada 0.5 sen, Key Alliance susut 0.5 sen kepada setengah sen, MYEG jatuh 2.5 sen kepada 89.5 sen, bagaimanapun Pertama Digital naik 2.0 sen kepada 30.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 7.20 mata kepada 12,289.95, Indeks FBMT 100 meningkat 10.87 mata kepada 11,987.92, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 8.45 mata kepada 12,201.90, Indeks FBM 70 berkurangan 25.07 mata kepada 17,569.32 dan Indeks FBM ACE menguncup 59.66 mata kepada 5,089.11.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 80.88 mata kepada 19,259.16, Indeks Perladangan meningkat 15.27 mata kepada 7,216.68, Indeks Perkhidmatan Produk Perindustrian turun 0.84 mata kepada 175.23 manakala Indeks Tenaga susut 4.03 mata kepada 878.07.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.16 bilion unit bernilai RM1.90 bilion daripada 1.44 bilion unit bernilai RM2.52 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran naik kepada 547.85 juta unit bernilai RM73.55 juta daripada 480.42 juta unit bernilai RM38.62 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 560.65 juta saham bernilai RM110.33 juta daripada 372.31 juta saham bernilai RM112.18 juta sebelum ini.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 266.14 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (193.20 juta); pembinaan (90.57 juta); teknologi (136.81 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (102.46 juta); hartanah (124.05 juta); perladangan (26.01 juta); REIT (15.08 juta), dana tertutup (72,900); tenaga (69.73 juta); penjagaan kesihatan (48.64 juta); telekomunikasi dan media (35.07 juta); pengangkutan dan logistik (27.26 juta), utiliti (29.20 juta) dan amanah perniagaan (571,100).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan