KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri penurunan tiga hari berturut-turut untuk ditutup tinggi pada Khamis, didorong oleh aktiviti penambahan stok di India.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata peniaga menambah semula bekalan mereka berikutan kebimbangan tahap pengeluaran akibat banjir dan cuaca buruk.
Selain itu, prospek pertumbuhan pengeluaran yang lebih lemah meningkatkan minat terhadap MSM tempatan, mengekalkan sentimen positif dalam pasaran.
"Kami melihat paras sokongan pada RM4,750 setan dan paras rintangan pada RM5,030 setan," katanya kepada Bernama.
Keyakinan beliau disokong oleh data positif bagi eksport berikutan laporan penyelidik kargo Intertek Testing Services baru-baru ini mengenai eksport barangan minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 10 Dis, 2024 meningkat 3.9 peratus, manakala AmSpec berkata eksport naik 1.1 peratus.
Ketika sesi penutup dagangan, kontrak semerta Disember 2024 meningkat RM47 kepada RM5,160 setan, Januari 2025 menokok RM47 kepada RM5,001 setan dan Februari 2025 menambah RM65 kepada RM4,921 setan.
Kontrak Mac 2025 meningkat RM89 kepada RM4,826 setan, April 2025 mengukuh RM92 kepada RM4,697 setan dan Mei 2025 menambah RM82 kepada RM4,570 setan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 119,534 lot daripada 120,030 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 238,860 kontrak daripada 238,514 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Disember Selatan meningkat RM10 kepada RM5,260 setan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial