PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Ditutup Rendah

05/03/2025 05:32 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Pasaran getah tempatan ditutup rendah pada Rabu sejajar dengan trend penurunan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.

Beliau berkata penurunan harga minyak mentah turut menjejaskan sentimen pasaran.

“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang oleh kebimbangan berterusan mengenai kekurangan bekalan getah asli dan langkah-langkah rangsangan China.

“China melaksanakan lebih banyak rangsangan fiskal pada Rabu, menunjukkan usaha untuk meningkatkan penggunaan dan memastikan hala tuju ekonomi ke arah sasaran pertumbuhan sebanyak 5 peratus pada tahun ini, dengan perang perdagangan yang meningkat dengan Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Bernama.

Katanya niaga hadapan getah Jepun merosot kepada paras terendah dalam tempoh hampir dua bulan didorong oleh kebimbangan mengenai perang perdagangan global yang meningkat susulan tarif baharu AS.

Beliau berpendapat tarif AS telah menyebabkan kebimbangan pasaran.

Getah asli merosot bersama komoditi pukal lain selepas kerajaan AS mengekalkan keputusannya untuk mengenakan tarif import ke atas Kanada, Mexico dan China.

Pada 4.11 petang, harga minyak mentah Brent susut 0.18 peratus kepada US$70.92 setong.

Lembaga Getah Malaysia melaporkan Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 merosot 18.5 sen kepada 909.0 sen sekilogram setakat 3 petang manakala susu getah pukal berkurangan lima sen kepada 712.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan