POLITIK > BERITA

ENAM AHLI BERSATU DISERAHKAN NOTIS TERHENTI SERTA-MERTA HARI INI

12/06/2024 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Notis terhenti serta-merta keahlian parti telah diserahkan kepada enam wakil rakyat Bersatu hari ini kerana didakwa melakukan ketidakpatuhan di bawah Fasal 10.4 Perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan hari ini berkata tindakan itu selaras dengan arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti yang bermesyuarat pada 7 Jun lepas dan telah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang bermesyuarat semalam.

Selain itu, keahlian Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman pula telah terhenti serta-merta menurut Fasal 10.2.6 Perlembagaan Bersatu dan notis terhenti secara serta-merta keahlian telah dihantar kepada beliau pada 17 Mei, menurut Hamzah.

"Kesemua proses ini telah dilakukan dengan menepati lunas perlembagaan parti dan perundangan negara sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan dan/atau di bawah undang-undang kerajaan negeri yang berkenaan," katanya.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Selain Suhaili, enam lagi wakil rakyat terlibat adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga ADUN Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) dan ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan