DUNIA > BERITA

PENGASAS WIKILEAKS ASSANGE MENGAKU BERSALAH UNTUK ELAK DIPENJARAKAN

26/06/2024 11:24 AM

WASHINGTON, 26 Jun (Bernama-Xinhua) -- Pengasas WikiLeaks, Julian Assange mengaku bersalah pada Rabu atas satu tuduhan jenayah melanggar Akta Pengintipan di Mahkamah Persekutuan di Saipan, ibu negara Kepulauan Mariana Utara. Pengakuan itu adalah sebahagian daripada perjanjian dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk mengelakkan hukuman penjara lebih lama, menamatkan episod undang-undang yang berlarutan selama bertahun-tahun, lapor Xinhua.

Walaupun mengaku bersalah atas satu tuduhan jenayah "memperoleh dan menyebarkan maklumat sulit berkaitan pertahanan negara secara tidak sah", Assange akan dibenarkan pulang ke Australia tanpa menjalani hukuman penjara di AS.

Jabatan Kehakiman AS bersetuju untuk mengadakan perbicaraan di pulau terpencil itu, sebuah komanwel AS di Pasifik, kerana Assange tidak mahu datang ke tanah besar AS.

Assange terlibat dalam pertempuran undang-undang yang panjang dengan kerajaan AS kerana peranannya dalam memperoleh dan membocorkan dokumen rahsia ketenteraan dan diplomatik antara 2009 dan 2011. Fail-fail ini termasuk ratusan ribu dokumen sulit tentera AS berkaitan perang di Afghanistan dan Iraq.

Penyokongnya menganggap beliau sebagai wartawan yang berani dan pemberi maklumat yang mendedahkan salah laku kerajaan, manakala pengkritiknya berkongsi kebimbangan serius mengenai potensi bahaya yang disebabkan oleh kebocoran maklumatnya.

Perjanjian dengan Jabatan Kehakiman AS mengakhiri penderitaan undang-undang Assange selama 12 tahun, yang melibatkan tujuh tahun di Kedutaan Ecuador di London dan lima tahun dalam penjara keselamatan maksimum Belmarsh di London untuk melawan ekstradisi ke Amerika Syarikat.

Perjanjian itu berjaya dicapai selepas AS mendapat tekanan yang semakin meningkat dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan sekutu seperti Australia dan Jerman, yang semuanya mendesak AS untuk menggugurkan ekstradisi dan menyelesaikan kes itu dengan segera.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan