POLITIK > BERITA

AZMIN SERAH NOTIS PEMAKLUMAN KEKOSONGAN KERUSI DUN SELAT KLANG

21/06/2024 05:42 PM

SHAH ALAM, 21 Jun (Bernama) -- Notis pemakluman kekosongan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari yang digugurkan keahliannya sebagai ahli Bersatu telah diserahkan kepada Speaker DUN Selangor hari ini.

Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata notis kekosongan luar jangka itu telah diserahkan kepada Speaker Lau Weng San di pejabat Lau di sini.

Beliau berkata Speaker bertanggungjawab memaklumkan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selaras dengan Perkara LXVA (3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. 

“Berdasarkan peruntukan Perkara LXVA (1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, seseorang ADUN hendaklah terhenti menjadi ADUN dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Speaker di bawah Fasal (3) jika ADUN yang berkenaan tidak lagi menjadi anggota parti politik itu," katanya kepada pemberita di sini.

Semalam, Lau dilapor berkata DUN Selangor belum menerima sebarang notis berhubung status Abdul Rashid.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan