POLITIK > BERITA

MOMENTUM KEMPEN PRK SUNGAI BAKAP OLEH JENTERA PERPADUAN PADA TAHAP PALING BAIK - ZAMBRY

25/06/2024 02:30 PM

GEORGE TOWN, 25 Jun (Bernama) -- Momentum kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap oleh jentera parti-parti komponen di bawah khemah Kerajaan Perpaduan berada pada tahap paling baik, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau yang merupakan Pengarah Pilihan Raya BN DUN Sungai Bakap berkata semangat ditonjolkan antara jentera parti BN dan Pakatan Harapan (PH) begitu baik, dengan gerak kerja dilaksanakan berteraskan kepada perpaduan dan kerjasama.

Beliau berkata semua rakan parti komponen BN juga telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka akan bekerjasama dan turun membantu kempen calon PH Dr Joohari Ariffin bagi memastikan kemenangan memihak kepada Kerajaan Perpaduan.

"Hubungan dalaman kami sendiri (BN) juga merupakan yang terbaik, kali ini kita tidak dengar ada daripada parti komponen kata dia tidak mahu jalankan kerja (semasa pilihan raya kecil) dijalankan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi dengan Industri Elektrik dan Elektronik (E&E) di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisyiharan calon bertanding Sabtu lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai.

Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail sebagai calon Perikatan Nasional (PN), dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap, 6 Julai ini.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Sementara itu Zambry berkata jentera BN akan terus turun padang untuk mendekati pengundi, terutamanya kelompok pengundi ‘atas pagar’, untuk memberi penjelasan mengenai isu-isu semasa kepada mereka.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan