POLITIK > BERITA

PRK SG BAKAP: POLIS KELUAR 17 PERMIT CERAMAH

25/06/2024 06:46 PM

NIBONG TEBAL, 25 Jun (Bernama) -- Polis Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 17 permit ceramah bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, yang memasuki hari keempat hari ini.

Jurucakap Polis Pulau Pinang bagi PRK DUN Sungai Bakap SAC W. Puspanathan berkata 10 permit ceramah dikeluarkan kepada Pakatan Harapan (PH) manakala selebihnya kepada Perikatan Nasional (PN).

“Setakat ini, tiada sebarang permohonan permit yang ditolak oleh pihak polis, saya minta parti bertanding untuk memohon permit lebih awal bagi memudahkan kelulusan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan polis atau aduan berhubung kesalahan berkaitan pilihan raya setakat ini, malah pasukan khas yang memantau ceramah serta kempen juga mendapati tiada pihak yang memainkan isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) sepanjang tempoh berkempen ini.

“Ini menunjukkan kematangan dan hormat antara ahli politik dan penyokong-penyokong mereka dalam pilihan raya kali ini, pihak polis harap ia diteruskan sehingga tamat berkempen serta kami juga memberi amaran agar jangan ada pihak yang menimbulkan sebarang provokasi,” katanya.

Puspanathan turut menasihati penyokong parti bertanding dan masyarakat umum agar tidak mudah terpengaruh serta mempercayai sumber maklumat tidak sahih, selain merujuk kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat atau pelanggaran undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa supaya tindakan segera boleh diambil.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan calon PN Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan