POLITIK > BERITA

Kejayaan Kementerian, Kerajaan Negeri Diterajui UMNO Jadi 'Pembuka Tirai' Perhimpunan Agung UMNO 2024

21/08/2024 08:22 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Pencapaian kementerian dan negeri yang diterajui pemimpin UMNO dibentangkan kepada Ketua Penerangan UMNO bahagian sebagai ‘pembuka tirai’ Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang bermula hari ini sehingga Sabtu.

Program PENTalk anjuran Penerangan UMNO menjadi platform kepada pimpinan parti itu berkongsi kejayaan dan memberi pencerahan kepada ahli dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

PENTalk yang dihadiri kira-kira 700 ahli UMNO menjadi medan kepada menteri, ketua menteri dan menteri besar daripada UMNO untuk berkongsi pencapaian masing-masing dalam menerajui kementerian dan negeri.

Program itu turut dihadiri Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan antara pemimpin yang membuat perkongsian itu ialah Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Perladangan dan Komoditi yang merupakan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Selain itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi merangkap Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan Datuk Zawawi Othman turut berkongsi mengenai kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu dalam slot ‘NenggiriKita’.

Terdahulu pada sebelah pagi, terdapat tujuh slot perkongsian daripada pemimpin UMNO antaranya menyentuh topik media sosial, komunikasi dan kecerdasan buatan (AI) termasuk memulihkan sokongan anak muda terhadap parti.

Ahmad Zahid akan menyampaikan Taklimat Presiden disusuli perasmian persidangan sayap-sayap UMNO oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan pada sebelah malam.

Perhimpunan Agung UMNO berlangsung bermula hari ini hingga 24 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur melibatkan seramai 6,433 perwakilan dari seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan