SUKAN > BERITA

TERBUKA INDONESIA: KIAN MENG-PEI JING TERSINGKIR DI SEPARUH AKHIR

08/06/2024 08:30 PM

JAKARTA, 8 Jun (Bernama) -- Langkah beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terhenti di separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2024 selepas disingkirkan gandingan China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin hari ini. 

Pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan di sini menyaksikan pasukan lawan yang merupakan pilihan kelima kejohanan hanya mengambil masa 39 minit untuk menumpaskan Kian Meng-Pei Jing 16-21,18-21. 

Mengulas mengenai perlawanan, Kian Meng-Pei Jing mengakui pasukan lawan sememangnya sukar diatasi apabila mereka berjaya mendominasi untuk terus mendahului mata sehingga tamat perlawanan.

 "Kami telah memberikan yang terbaik dan rasa pihak lawan bermain lebih baik kerana sentiasa mengawal rentak dan kekal berada di hadapan,” kata mereka kepada pemberita selepas perlawanan di sini hari ini. 

Kian Meng-Pei Jing bagaimanapun berpuas hati dengan prestasi ditampilkan mereka di kejohanan berkenaan dan mahu bersiap sedia bagi Kejohanan Terbuka Australia yang akan berlangsung minggu depan. 

“Matlamat kami nanti adalah untuk mengekalkan momentum semasa dan mencapai keputusan yang lebih baik,” tambah mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan