SUKAN > BERITA

PAN GON MINTA KERJASAMA BERSEPADU UNTUK PERSEDIAAN HARUNGI KELAYAKAN PIALA ASIA 2027

12/06/2024 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan Gon menggesa semua pihak mempertingkatkan usaha dalam menyediakan Harimau Malaya bagi menghadapi cabaran getir untuk layak ke Piala Asia 2027 berikutan kekecewaan mereka pada Kelayakan Piala Dunia 2026.

Pan Gon berkata dia memahami peraturan untuk melepaskan pemain untuk tugas antarabangsa yang bermaksud dia tidak boleh memaksa kelab melepaskan pemain mereka di luar kalendar pertandingan antarabangsa FIFA.

Bagaimanapun, bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) itu berkata bahawa Korea Selatan pernah berada di ambang kegagalan untuk layak ke Piala Dunia 2018 tetapi usaha tambahan yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil.

“Saya fikir kita perlu melakukan kerja lebih dan sokongan. Saya tahu ini jelas satu tempoh FIFA, kami tidak boleh mendesak, malah pasukan kebangsaan Korea pada saat-saat genting untuk ke peringkat akhir Piala Dunia 2018, kami hampir tidak berjaya. Dalam perlawanan di tempat sendiri menentang Iran dan perlawanan di tempat lawan menentang Uzbekistan, masa itu kami berikan usaha lebih.

“Jadi, apabila memikirkan perlawanan terakhir menentang Oman dan perlawanan ini menentang Taiwan, itulah sebabnya kami meminta bantuan. Tetapi saya tidak boleh mendesak kerana itu bukan dalam peraturan, dan ia bukan kewajipan mereka,” katanya pada sidang media selepas perlawanan Malaysia menewaskan Taiwan 3-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Mengulas lanjut, Pan Gon mencadangkan agar satu pelan strategik dirangka untuk Piala Asia 2027 dengan mengambil kira penyertaan kelab dalam kejohanan antarabangsa bagi mengumpulkan pemain terbaik dan membentuk skuad ideal.

Beliau berkata Malaysia juga perlu meningkatkan rankingnya untuk menempatkan diri dalam Pot Pertama untuk pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan untuk mengelak laluan yang lebih mencabar.

“Jika kami berada dalam pot kedua, itu sangat berbahaya, jadi kami mesti mula membincangkan bagaimana boleh meningkatkan ranking FIFA kami. Kami perlu mendapatkan lebih banyak mata untuk masuk kumpulan enam teratas dan berada dalam pot pertama. Kemudian, kami tambah baik semua pemain dan juga mendapatkan sokongan daripada kelab.

“Saya tidak boleh mengeluh; kelab telah banyak berkorban untuk membantu pasukan kebangsaan, itulah sebabnya kami berada di sini. Jika tidak, ia akan menjadi sangat sukar. Jika kita hanya bergantung pada tempoh FIFA, saya rasa Malaysia akan jauh ketinggalan. Tetapi, menuju ke hadapan, kami perlu mendapatkan lebih banyak sokongan daripada kelab,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan membincangkan cadangannya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Pan Gon berkata mereka sering bercakap tentang itu tetapi ada beberapa kekangan.

“Saya rasa kita banyak bercakap tentang perkara ini tetapi kadang-kadang realiti dalam situasi Malaysia, malah saya dapat lihat ia agak sukar, sangat sukar, tetapi saya tidak tahu bagaimana untuk memperbaikinya kerana perkara yang besar perlu diperbaiki di sini, tidak boleh dibandingkan dengan Korea dan Jepun kerana mereka mempunyai sistem yang sangat baik.

 

“Sekarang saya rasa kita perlu semak dan bentuk sistem kita dan melahirkan pemain muda, itu yang paling penting, setiap tahun perlu melahirkan bakat muda,” kata jurulatih berusia 55 tahun itu.

Pada penghujung pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 untuk Kumpulan D, Oman dan Kyrgyzstan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas masing-masing muncul juara dan naib juara kumpulan dengan masing-masing mengumpul 13 dan 11 mata.

Sementara itu, Malaysia menduduki tempat ketiga dengan 10 mata dan Taiwan di tangga terbawah tanpa sebarang mata.

Kegagalan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 menyaksikan skuad Harimau Malaya terpaksa mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 dalam cubaan untuk membuat penampilan kedua berturut-turut dalam pertandingan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan