SUKAN > BERITA

ISTAF WAJIB ACARA REGU BERPASUKAN PADA PIALA RAJA THAI

15/06/2024 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) buat kali pertama mewajibkan semua pasukan di divisyen premier mesti menyertai acara regu berpasukan pada Kejohanan Sepaktakraw Dunia Piala Raja Thai ke-37 yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 8 Sept di Korat, Thailand.

Setiausaha Agung ISTAF Abdul Halim Kader dalam satu kenyataan berkata syarat baharu ini bertujuan untuk meningkatkan tahap persaingan dan memastikan pasukan terbaik dipertontonkan dalam kategori berprestij ini, sekali gus menambah dimensi menarik kepada kejuaraan.

"Selain itu, ISTAF mengumumkan rancangan untuk menyediakan pelan induk komprehensif bertujuan mencipta konsep dan strategi penyiaran terbaik.

“Inisiatif ini direka untuk memastikan kejohanan mencapai penonton global, memberikan pengalaman menonton yang luar biasa dan meningkatkan profil antarabangsa sukan itu,” katanya selepas menpengerusikan mesyuarat penyelarasan PIala Raja Thai 2024 dengan Persatuan Takraw Thailand di Bangkok hari ini.

Sebanyak 33 negara akan menyertai kejohanan ini, mencerminkan capaian global dan populariti sepak takraw yang semakin meningkat dengan menampilkan bakat terbaik dunia, kata Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

 Kejuaraan Piala Raja Thai ke-37 akan menampilkan pelbagai acara untuk kedua-dua pasukan lelaki dan wanita dalam tiga kategori.

Kategori Premier (Lelaki & Wanita)

1. Regu Berpasukan (wajib) 

2. Regu

3. Beregu

4. Beregu Campuran

5. Kuadran Campuran

6. Regu Campuran

7. Hoop (acara tambahan)

* Jumlah Pemain Premier: 12 pemain setiap pasukan. Negara menyertai acara Hoop boleh hantar sehingga 15 pemain.

Divisyen Satu (Lelaki & Wanita)

1. Regu

2. Regu Campuran

3. Beregu

4. Beregu Campuran

5. Kuadran Campuran

6. Hoop (acara tambahan)

* Jumlah Pemain Divisyen Satu: 9 pemain setiap pasukan. Negara menyertai acara Hoop boleh hantar sehingga 12 pemain.

Divisyen Dua (Lelaki sahaja kerana ia adalah negara baharu dalam sukan sepak takraw)

1. Regu

2. Regu Campuran

3. Beregu

4. Beregu Campuran

5.Kuadran Campuran

6. Hoop (acara tambahan)

*  Jumlah Pemain Divisyen Dua: 9 pemain setiap pasukan. Negara acara Hoop boleh hantar sehingga 12 pemain.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan