SUKAN > BERITA

LARIAN BATON SUKMA 2024 HAMPIRI PENGHUJUNG

18/06/2024 03:09 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Larian obor temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 yang bermula dari bahagian utara negeri itu menghampiri kemuncaknya apabila berbaki dua lagi lokasi di selatan iaitu Samarahan pada 22 Jun ini sebelum berakhir di Kuching keesokannya. 

Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata dua bahagian tersebut menjadi lokasi ke-11 dan ke-12 larian obor berkenaan dalam usaha menyemarakkan lagi suasana penganjuran temasya yang bakal berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Larian itu sebelum ini melalui Limbang, Miri, Bintulu, Mukah, Sibu, Kapit, Sarikei, Betong, Sri Aman dan Serian.

“Sebanyak 12 bahagian terlibat dengan larian baton Sukma walaupun cuma sembilan sahaja bahagian secara langsung akan menyertai temasya. Tujuannya ialah untuk mempromosi supaya warga masyarakat dapat merasakan kehangatan penganjurannya.

“Sambutan amat menggalakkan diterima semasa larian obor tersebut di 10 bahagian jadi kita jangka sambutan sama diterima di Samarahan serta lebih 2,000 pengunjung memeriahkan suasana lokasi larian terakhir di Kuching nanti,” katanya dalam program Konti Sukan terbitan Radio RTM hari ini.

Beliau berkata setakat ini kira-kira 1,200 atlet Sarawak disahkan turut serta dalam temasya kebangsaan itu dan kini dalam fasa terakhir persiapan. 

Awang Putrayusrie juga berharap kontinjen Sarawak menjadi juara keseluruhan pada edisi kali ini selepas kali terakhir mengungguli pada 1994.

Sukma ke-21 merupakan kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah selepas 1990 dan 2016.

Sukma Sarawak bakal menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara, menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai termasuk kontinjen jemputan iaitu Brunei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan