SUKAN > BERITA

MOM, UPSI JALIN KERJASAMA BANGUNKAN SUKAN NEGARA

23/06/2024 02:17 PM

TANJUNG MALIM, 23 Jun (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam bidang pendidikan serta penyelidikan untuk membangunkan sukan di negara ini secara komprehensif.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata kerjasama itu bertepatan kerana UPSI menawarkan kursus pengajian bersesuaian kepada atlet negara selain mempunyai kemudahan fasiliti diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Kerjasama ini turut melibatkan aspek penyelidikan dalam bidang sukan dan pada masa ini, kita tidak mempunyai kajian-kajian tertentu yang sebenarnya membantu dalam memajukan bidang sukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu serta sambutan Hari Olimpik 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama itu juga diharap mampu memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak selain menjadi penyumbang dalam meningkatkan mutu serta kualiti sukan negara.

Dalam pada itu Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kerjasama berkenaan dilihat sebagai peluang besar untuk membantu negara melahirkan atlet yang mampu menjulang nama negara di Sukan Olimpik.

“Di pihak UPSI, kita komited untuk menyediakan semua ruang kemudahan sukan yang kita ada kepada persatuan sukan di negara ini,” katanya sambil menambah atlet dialu-alukan menyambung pengajian di UPSI.

Md Amin berkata usaha itu juga dapat meningkatkan pengetahuan pendidikan kepada para atlet yang ingin menceburi bidang kejurulatihan sekali gus menjadi penggerak dalam melahirkan bakat-bakat baharu di peringkat sekolah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan