SUKAN > BERITA

ANALISIS LAWAN BEKAL KEYAKINAN JOHNATHAN KE OLIMPIK

24/06/2024 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Penembak negara Johnathan Wong menjalankan analisis terhadap kemampuan penembak lain yang bakal bersaing dalam acara 10 meter (m) air pistol di Sukan Olimpik Paris 2024, bulan depan.

Pembidik berusia 31 tahun itu berkata langkah berkenaan adalah sebahagian daripada persiapan beliau dalam usaha melakukan sasaran lebih tepat pada penampilan keduanya di pentas berprestij itu kelak.

“Saya perlu tahu siapa pencabar dari segi ranking mereka dan pertandingan apa disertai mereka. Dari situ kita tahu apa sasaran yang boleh dicapai.

“Saya juga boleh cuba memperbaiki prestasi bersandarkan analisis itu,“ katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Johnathan antara atlet Malaysia terawal layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menduduki tempat keempat acara 10m air pistol di Kejohanan Menembak Dunia di Chanhgwon, Korea Selatan pada Oktober 2023.

Ia akan menjadi penampilan kedua atlet kelahiran Melaka itu selepas penampilan sulungnya di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.

Sebanyak 21 atlet negara telah mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 setakat ini, membabitkan lapan jenis sukan iaitu terjun, memanah, badminton, berbasikal, golf, pelayaran, menembak dan angkat berat.

Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan