SUKAN > BERITA

AUG 2024: SKUAD RENANG NEGARA JELMA DUA PINGAT EMAS

27/06/2024 01:47 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

SURABAYA, 26 Jun (Bernama) -- Skuad renang negara menyumbang dua lagi pingat emas untuk kontinjen negara pada hari pertama Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di kolam renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) di sini hari ini. 

Pingat emas dituai perenang wanita negara Phee Jinq En dalam acara 50 meter (m) kuak dada wanita dengan catatan masa 32.03 saat (s), meninggalkan perenang Thailand (32.33s) dan Indonesia (32.95) masing-masing meraih pingat perak dan gangsa. 

Satu pingat emas pula dijelmakan Tan Khai Xin yang mengungguli final acara 400m gaya bebas lelaki selepas mencatat 4:05.18s menewaskan rakan senegara Low Zheng Yong (4:06.21s) yang menyambar gangsa dan gangsa menjadi milik wakil Vietnam, Truong Viet Vu (4:06.34s).

Skuad renang turut menyumbang tiga pingat gangsa menerusi Bryan Leong Xin Ren dalam acara 50m kuak dada lelaki dengan merekod masa 29.43s dan Hii Puong Wei bagi acara 200m kuak dada lelaki dengan catatan masa 2:07s selain skuad acara 4x100 gaya bebas wanitai (9:05.34s) yang dibarisi Chu Xin Ying, Jerriel Lau, Shi Qi dan Georgene We Jee Ern. 

Terdahulu, atlet judo wanita negara Nur Farah Izzati Wallah menjelmakan pingat emas pertama kontinjen negara dalam acara bawah 52 kilogram (kg) wanita selepas pencabar tuan rumah, Maryam March Maharani dibatalkan penyertaan kerana melanggar peraturan pada aksi final.

Sementara itu, atlet judo lelaki negara Muhammad Fareez Mohameid menghadirkan pingat perak  selepas dikecewakan atlet tuan rumah Tommy Darmawan di pusingan final acara bawah 60kg lelaki selepas menewaskan pencabar Singapura Bryan Tze Haeng pada pusingan pertama pagi tadi. 

Kontinjen Malaysia setakat ini berada di kedudukan kedua carta pingat AUG 2024 dengan tiga pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa di bawah tuan rumah Indonesia yang berada di kedudukan teratas.

Bagi saingan hari kedua esok, skuad judo dan renang negara dilihat masih berpotensi untuk meraih pingat selain futsal serta mendaki bakal memulakan kempen esok. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan