SUKAN > BERITA

PETANQUE SELAMATKAN MARUAH KONTINJEN MALAYSIA PADA HARI KEEMPAT AUG 2024

29/06/2024 07:49 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

SURABAYA, 29 Jun (Bernama) -- Kem petanque negara menjadi penyelamat  kontinjen Malaysia daripada ketandusan pingat emas di hari keempat  temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 apabila menyumbang sebutir emas menerusi acara triple campuran hari ini. 

Pada aksi final di Gelanggang Pentanque Universitas Negeri Surabaya (UNESA) di sini menyaksikan gandingan Nur Asyikin Roslan, Sharifah Afiqah Farzana Syed Ali dan Mohamad Muqri Arif Mohamad Sapiny menewaskan trio Thailand dibarisi Thirawut Khamchan, Khwandee Panin dan Thidathip Inkan. 15-5.

Di kolam renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) pula suram tanpa emas apabila skuad renang memperoleh sebutir pingat perak menerusi Terence Ng Shin Jian dalam acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki dengan catatan masa 1 minit 51.29 saat (s).

Pingat emas dan gangsa masing-masing menjadi milik perenang Thailand Kanteemool Tonnam (1:50.98s) dan rakan senegara Tan Khai Xin (1:51.70).

Seorang lagi perenang negara Hii Puong Weii turut menyumbang pingat perak dalam acara 200m individu rampaian lelaki dengan catatan masa 2:06.17s selepas beliau meraih gangsa dalam acara 100m kuak dada lelaki dengan catatan masa 1:04.47s. 

Skuad 4x100m gaya bebas lelaki turut menjelmakan satu perak dengan catatan masa keseluruhan 3:29.53s selain acara 200m rampaian individu wanita turut meraih satu gangsa menerusi Christy Teh Xing Ti dengan merekod masa 2:30.60s. 

Dalam pada itu, skuad judo menjelmakan pingat perak menerusi acara berpasukan selepas muncul pasukan kedua terbaik dalam saingan yang menggunakan format round robbin. 

Perlawanan pertama pusingan itu Malaysia yang bertemu tuan rumah Indonesia ditewaskan 1-4 sebelum bangkit menumbangkan Singapura 4-1 di aksi kedua untuk menyambar pingat perak. 

Kontinjen Malaysia turut meraih gangsa dalam acara badminton berpasukan lelaki dengan menumpaskan Singapura 3-0 pada penentuan tempat ketiga dan keempat di Pusat Konvensyen Graha Cakrawala, Universitas Malang. 

Terdahulu skuad badminton berpasukan wanita terpaksa berpuas hati dengan perak selepas ditundukkan Thailand 0-3 di aksi final pagi tadi. 

Bagi hari kelima esok, tumpuan pingat Malaysia bakal terarah skuad petanque dan renang selain skuad futsal untuk menjelmakan pingat emas negara. 

Malaysia jatuh di tangga ketiga carta pungutan pingat dengan 11 pingat emas, 14 pingat perak dan 19 gangsa di belakang Thailand di kedudukan kedua dan Indonesia di tangga teratas. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan