SUKAN > BERITA

AUG 2024: MALAYSIA RAIH TIGA EMAS DI KOLAM RENANG

27/06/2024 10:13 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor 

SURABAYA, 27 Jun (Bernama) -- Kolam renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) di sini terus menjadi saksi skuad renang negara menjana kilauan pingat emas apabila meraih tiga emas pada hari kedua saingan di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 hari ini.

Dalam enam acara final disertai kontinjen negara, Malaysia turut membawa pulang satu perak dan tiga gangsa.

Perenang negara Tan Khai Xin tampil cemerlang dengan merangkul emas kedua peribadi di temasya sukan itu selepas mengungguli acara 400 meter (m) rampaian individu lelaki dengan catatan 4:42.70 saat (s).

Lebih manis kejayaan itu diiringi rakan senegara Liew Zeng Whye (4:45.90s) yang meraih pingat perak di hadapan perenang tuan rumah Andi Muhammad Nurrizka Febrianto (4:53.31s) untuk pingat gangsa. 

Kecemerlangan kem renang diteruskan Bryan Leong Xin Ren yang menghadirkan satu lagi emas dalam acara 50m kuak kupu-kupu lelaki dengan mencatat masa 24.54s. 

Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik perenang Indonesia Azel Zelmi Aryalingga (24.87s) dan atlet Singapura Ong Jung Yi (25.00s). 

Skuad 4x200m gaya bebas lelaki yang dibarisi Terence Ng Shin Jian, Low Zhen Yong, Hii Puong Wei dan Tan Khai Xin turut membutirkan lagi pingat emas dengan catatan masa 7:38.24s meninggalkan pasukan Indonesia (7:41.45s) dan Thailand (7:53.16s) masing-masing di tempat kedua dan ketiga. 

Dalam pada itu, Malaysia turut memperoleh dua pingat gangsa dalam acara 400m rampaian individu wanita dan 800m gaya bebas wanita kedua-duanya disambar Geogene Wee Jee Jern.

Wong Shi Qi turut menjelmakan pingat gangsa dalam acara 50m kupu-kupu wanita. 

Semalam, Khai Xin menyumbang pingat emas buat skuad renang negara apabila memenangi acara 400m gaya bebas lelaki dengan mencatat 4:05.18s.

Sementara itu, skuad catur negara suram tanpa emas apabila sekadar meraih dua pingat gangsa menerusi Lye Lik Zhang dalam acara perseorangan lelaki dan berpasukan wanita yang dibarisi Chua Jia Tien, Puteri Rifqah Fahafa Azhar, Puteri Munajjah Az-Zahraa Azhar serta S. Nithyalakshimi. 

Malaysia kini berada di tangga kedua carta pingat AUG 2024 dengan lapan pingat emas, empat perak dan sembilan pingat gangsa di bawah tuan rumah Indonesia yang kekal di kedudukan teratas.

Bagi saingan hari ketiga, kem judo, renang dan catur negara dijangka mampu meraih pingat selain badminton, bola tampar dan futsal masih berada di aksi peringkat kumpulan. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan