SUKAN > BERITA

MOM TAMBAH BAIK REKA BENTUK JAKET RASMI KONTINJEN NEGARA - MOHAMAD NORZA

28/06/2024 02:55 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menambah baik reka bentuk sedia ada bagi melambangkan motif Harimau pada jaket rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 manakala logo MOM dan Jalur Gemilang kembali kepada warna asal.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata badan induk itu akan berbincang dengan penaja pakaian rasmi kontinjen, Yonex Sunrise, untuk penambahbaikan reka bentuk jaket yang melambangkan status negara dan memenuhi harapan rakyat jelata.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan peminat sukan tanah air, yang tidak memberikan respons positif terhadap rekaan berkenaan.

“Sesungguhnya MOM mengucapkan terima kasih kepada semua pemegang taruh dan peminat sukan secara umumnya yang mengambil berat terhadap majlis pelancaran dan reka bentuk pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 dengan memberi teguran dan pandangan membina.

“Kami juga menghargai prinsip KBS dan agensi kerajaan lain yang menghormati kedudukan MOM sebagai badan payung persatuan sukan kebangsaan yang bebas dan tidak berasaskan keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Norza berharap seluruh rakyat bersama-sama mendoakan kejayaan atlet negara ke temasya empat tahun sekali itu sebagaimana kesungguhan yang ditunjukkan dalam memberi pandangan terhadap rekaan jaket rasmi kontinjen Malaysia.

Beliau berkata badan induk itu akan mengambil sepenuh tanggungjawab atas kekeliruan yang berlaku sebagai badan menguruskan pendaftaran dan penyertaan atlet, jurulatih dan pegawai di temasya berkenaan.

"Niat asal pasukan memaparkan corak dan reka bentuk untuk jaket yang dilancarkan bertemakan warna emas digabungkan dengan hitam berserta logo MOM berwarna emas dianggap menjadi simbol paling tepat mencerminkan aspirasi Kontinjen Malaysia membawa pulang emas pertama.

"Versi emas logo MOM yang menggabungkan kibaran bendera negara dan lima gegelung itu menepati garis panduan IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa)," katanya.

Bagi menjawab isu berhubung logo MOM yang memaparkan bendera Malaysia sedang berkibar, beliau berkata ia adalah sebahagian logo MOM merangkumi kibaran bendera Malaysia bersama lima gegelung Olimpik.

“Ia bukanlah bendera Malaysia atau Jalur Gemilang yang dipinda atau diubah suai sesuka hati. Apabila digunakan dalam versi lima warna atau polychrome, warna lima gegelung itu ialah dari kiri ke kanan, biru, kuning, hitam, hijau dan merah. Biru, hitam dan merah di sebelah atas, manakala kuning dan hijau di sebelah bawah. Versi lima warna hanya boleh digunakan pada latar belakang putih mengikut syarat IOC.

“Andai latar belakang itu adalah selain daripada putih, versi monokrom atau satu warna mesti digunakan. Sebagai contoh jika latar belakang hitam, logonya hendaklah digunakan dengan warna kontra satu warna sahaja seperti putih, kuning atau biru,” katanya.

Mohamad Norza turut memaklumkan MOM telah bersama Yonex sebagai penaja pakaian rasmi Kontinjen Malaysia sejak 2014, selain berkata corak dan reka bentuk serta motif pakaian dikeluarkan setiap kitaran baharu penajaan MOM kebiasaannya bermula daripada Sukan SEA dan berakhir di Sukan Olimpik seperti rekaan baju Sukan SEA 2017 dipakai sehingga Olimpik Tokyo 2020.

“MOM menerima maklum balas daripada pelbagai pihak, termasuk pandangan atlet yang berpendapat motif dan reka bentuk untuk penyertaan di temasya berprestij seperti Sukan Olimpik yang menjadi pentas tertinggi penampilan atlet negara, memerlukan pembaharuan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata reka bentuk pakaian rasmi Kontinjen Malaysia akan melalui kitaran baharu bermula dengan Sukan SEA di Thailand pada 2025 hingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Pakaian rasmi kontinjen negara ke pelbagai temasya sukan berupa baju berkolar, baju T dan jaket diperkenalkan sempena sambutan Hari Olimpik sebelum ini telah diperkenalkan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Bagaimanapun, rata-rata peminat sukan tanah air di media sosial meluahkan ketidakpuasan hati terhadap rekaan itu yang didakwa sedikit terbelakang dan tidak membangkitkan semangat berbanding pakaian rasmi digunakan kontinjen negara sebelum ini.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan