SUKAN > BERITA

BOLA SEPAK B-16 ASEAN: MALAYSIA GAGAL KE SEPARUH AKHIR

29/06/2024 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Impian Skuad Bawah 16 Tahun (B-16) mara ke saingan separuh akhir Kejuaraan B-16 ASEAN 2024 tidak kesampaian apabila tumpas 1-3 kepada Thailand pada aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Manahan, Surakarta, Indonesia hari ini.

Pasukan negara harus menyalahkan diri sendiri selepas gagal mempertahankan jaringan pembukaan Izzuddin Afif pada minit keempat sebelum membenarkan Thailand bangkit meledak tiga gol pada separuh masa kedua.

Jompoon Homboonma mencetuskan detik kebangkitan Thailand apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-74 sebelum pasukan itu berada di depan selang dua minit kemudian menerusi gol Siwakorn Ponsan.

Poramet Laoongdi kemudian menyudahkan satu lagi sepakan penalti untuk melengkapkan kemenangan ke atas Malaysia.

Keputusan mengecewakan itu menyaksikan pasukan kendalian Javier Jorda Ribera gagal layak ke separuh akhir selepas mengakhiri saingan di tempat ketiga dalam peringkat kumpulan dengan tiga mata.

Hanya tiga juara kumpulan dan naib juara terbaik meraih slot ke separuh akhir.

Australia dinobatkan sebagai juara kumpulan C walaupun berkongsi tujuh mata dengan Thailand selepas memiliki jumlah perbezaan gol yang banyak berbanding lawan manakala Timor Leste di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Malaysia membuka tirai saingan di Surakarta dengan bergaya apabila membenam Timor Leste 5-0 pada 23 Jun sebelum tumpas 0-2 kepada Australia, Rabu lepas.  

Kali terakhir Malaysia melangkah ke separuh akhir adalah pada edisi 2019 yang menyaksikan mereka muncul juara dengan menang tipis ke atas Thailand 2-1.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan