SUKAN > BERITA

RENANG LEPASI SASARAN 7 EMAS, TUTUP KEMPEN AUG 2024 DENGAN SATU EMAS

01/07/2024 10:08 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

SURABAYA, 1 Julai (Bernama) --  Kem renang negara sekali lagi menjadi penyumbang pingat emas pada saingan terakhir sukan berkenaan dengan satu pingat emas di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di kolam renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) di sini hari ini.

Dalam enam saingan yang disertai Malaysia, satu emas itu diperoleh menerusi Low Zheng Yong dalam acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu lelaki dengan catatan 2 minit 08.48 saat (s) meninggalkan rakan sepasukan Liew Zheng Wye (2:10.23s) yang meraih pingat perak.

Skuad renang turut memperoleh gangsa menerusi Bryan Leong Xin Rin dalam acara 50m gaya bebas lelaki dengan catatan masa 23.05s dengan emas menjadi milik perenang Thailand, Kanteemool Tonnam manakala perak dimenangi perenang tuan rumah, Joe Aditya Wijaya Kurniawan.

Selain itu skuad negara turut merangkul gangsa menerusi Georgene Wee Ee Jern dalam acara 200m kuak kupu-kupu wanita dengan mencatat 2:23.96s dan kuartet negara dibarisi Bryan, Terence  Ng Shin Jian, Hii Puong Wei dan Tan Khai Xin turut meraih gangsa dalam acara 4x100m berganti-ganti rampaian lelaki dengan catatan 3:58.54s.

Skuad renang negara melepasi sasaran tujuh emas pada kempen AUG 2024 dengan membawa pulang keseluruhan sembilan emas, tujuh perak dan 16 pingat gangsa sepanjang enam hari saingan sukan berkenaan. 

Sementara itu, kem catur turut menyumbang pingat perak dalam acara berpasukan lelaki dianggotai Lik Zhang Lye, Mukhriez Shah Mahmood Shah, Muhd Hafizuddin Zulkifli dan Fahman Arasy Ayub. 

Malaysia turut memperoleh tiga pingat gangsa dalam acara perseorangan wanita menerusi Puteri Munajjah Az-Zahraa Azhar, perseorangan lelaki Zhang Lye dan berpasukan wanita yang dibarisi Puteri Munajjah , Chua Jia Tien, S. Nithyalakshmi dan Puteri Rifqah Fahada Azhar.

Bagi hari ketujuh temasya sukan dwitahunan itu esok, Malaysia akan tertumpu kepada acara badminton yang dibarisi empat wakil negara pada perlawanan final bagi perebutan pingat emas. 

Kem olahraga turut bakal memulakan kempen dan antara yang menjadi tumpuan adalah jaguh pecut negara  Muhammad Azeem Mohd Fahmi dalam acara 100m.

Kontinjen tuan rumah Indonesia terus menerajui takhta pungutan pingat dengan 70 emas, 56 perak dan 37 gangsa dikuti Thailand (24-20-11) dan Malaysia kekal di tangga ketiga dengan kutipan 14-17-27.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan