SUKAN > BERITA

KEMENANGAN KE ATAS KDN FC TINGKAT MORAL PEMAIN KEDAH

13/07/2024 10:43 AM

ALOR SETAR, 13 Julai (Bernama) -- Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC Mohd Nafuzi Zain menyifatkan kemenangan pasukannya ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam perlawanan Liga Super malam tadi meningkatkan moral pemain sebelum berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu depan.

Beliau berkata keserasian dan persefahaman antara pemain seperti yang dipamerkan malam tadi harus dikekalkan sekiranya KDA FC mahu mendapat keputusan yang positif menentang JDT dalam aksi separuh akhir Piala FA nanti.

“Kemenangan ke atas KDN FC dan beberapa perlawanan sebelum ini dapat meningkatkan lagi moral dan keyakinan pasukan untuk mencapai keputusan yang positif nanti.

“Ia kemenangan yang begitu penting dan amat berharga kerana kita tahu kita kena meneruskan momentum untuk mengejar kelompok atas Liga Super dan kita kena menang tempat sendiri,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan menyaksikan KDA FC menewaskan KDN FC 3-0 di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.

Bagaimana pun Nafuzi berkata terdapat beberapa kelemahan ketara dalam pasukannya terutama pada bahagian pertahanan dan serangan yang akan diperbaiki segera.

Sementara itu, pembantu ketua jurulatih KDN FC, Rezal Zambery Yahya berkata gol awal Kedah pada minit ke-9 memberi tekanan kepada pasukannya yang mengakibatkan perancangan tidak menjadi.

“Sebenanya kalau kita lihat gol itu tidak seharusnya berlaku, kita terpaksa menukar perancangan di separuh masa kedua selepas kita ketingalan 1-0…kita tukar formasi untuk cuba mencari jaringan.

“Namun kita gagal dan perkara ini perlu kita perbaiki…perlawanan sebelum ini.. prestasi ditunjukkan pemain ada kesungguhan dipamerkan, tapi malam ini kita lihat ada penurunan prestasi semua pemain,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan