SUKAN > BERITA

SUKAN PARALIMPIK: TIADA KEPERLUAN PAKAI ALAT PENGESAN DI TANGAN - MPM

17/07/2024 01:34 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Kontinjen negara termasuk para atlet tidak perlu memakai gelang pengawasan pengesan digital sepanjang Sukan Paralimpik 2024 di Paris berlangsung.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata keputusan tersebut dilakukan selepas mereka mendapat jaminan keselamatan daripada pihak penganjur temasya sukan berprestij dunia itu.

“Penganjur telah memberi jaminan bahawa mereka akan memperketat langkah-langkah keselamatan di Paris, jadi saya buat keputusan tiada keperluan pakai alat pengesan di sana.

“Saya telah maklumkan kepada syarikat yang menaja gelang ini bahawa kami tidak akan memakainya dan ucapkan terima kasih atas bantuan diberikan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu undangan ‘Jendela Fikir’ kelolaan Bernama Radio di sini hari ini.

Selain jaminan pihak penganjur, beliau pada masa sama sering menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Paris bagi mendapatkan gambaran sebenar dan sebarang laporan terkini susulan ketegangan politik di Perancis.

Sementara itu, Megat D. Shahriman berkata seramai tiga atau empat lagi atlet baharu ke Paris 2024 akan diumumkan selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan esok.

Setakat minggu lepas, MPM mengesahkan seramai 25 atlet bakal membawa cabaran negara ke Sukan Paralimpik 2024 dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

Dalam perkembangan lain, beliau gembira jumlah penaja diterima pihaknya untuk membantu kontinjen negara di Paris meningkat dua kali ganda berbanding edisi Tokyo 2020 setakat ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan MPM akan menerima lebih banyak tajaan dari syarikat luar menjelang Paris 2024.

“Pada Tokyo 2020 kami dapat tiga penaja, namun untuk Paris 2024, setakat ini sudah ada enam penaja dan jumlahnya mungkin akan bertambah sebelum temasya sukan tersebut berlangsung,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan