SUKAN > BERITA

PELUANG VICENTE CIPTA 'MAGIS' - AZLAN

17/07/2024 05:41 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Peletakan jawatan pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon semalam bukan saja menimbulkan pelbagai reaksi malah mengundang kehampaan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Bagi bekas pemain kebangsaan Azlan Johar, pengunduran Pan Gon itu telah memberi ruang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenal pasti jurulatih lebih baik berbanding yang ditawarkan pengendali dari Korea Selatan berkenaan ketika mengambil alih pasukan kebangsaan pada 2022.

Beliau berkata mungkin sudah sampai masa untuk FAM mempertimbangkan keupayaan orang kanan Pan Gon yang kini memangku jawatan ditinggalkannya, Pau Marti Vicente untuk terus membimbing skuad kebangsaan jika terbukti individu dari Sepanyol itu boleh melakukannya.

“Memang satu kejutan besar buat bola sepak negara namun ini peluang untuk Malaysia cari jurulatih lebih bagus malah buka ruang buat jurulatih tempatan tunjukkan kelebihan mereka.

“Malah Vicente tidak boleh mensia-siakan peluang ini sekiranya beliau berminat memajukan bola sepak negara. Memandangkan beliau pernah berkhidmat bersama Pan Gon sebelum ini, sudah pasti beliau telah mengetahui kelebihan dan kelemahan Pan Gon yang boleh diperbaiki untuk bawa perubahan kepada bola sepak negara,” katanya kepada Bernama.

Pan Gon mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan berkuat kuasa serta-merta dalam satu sidang media khas di Wisma FAM semalam atas faktor komitmen peribadi.

Sehubungan itu, FAM melantik pembantu jurulatih, Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih dibantu seorang lagi pembantu jurulatih, E Elavarasan.

Vicente, 41, memilik pengalaman sebagai pembantu jurulatih skuad Bawah 18 tahun (B-18) Barcelona selain berkhidmat sebagai pembantu jurulatih Adelaide United di Australia, sebelum menyertai barisan kejurulatihan Harimau Malaya, sebagai pembantu Pan Gon.

Azlan mengakui terkejut dengan keputusan drastik dibuat jurulatih berusia 55 tahun itu yang dilihat masih belum berputus asa dan bersemangat membimbing skuad kebangsaan biarpun gagal membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Skuad negara menamatkan aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di kedudukan ketiga dengan 10 mata di belakang Kyrgyzstan (11 mata) dan juara kumpulan, Oman (12 mata).

Keputusan itu memaksa Harimau Malaya beraksi pada pusingan terakhir kelayakan untuk melangkah ke Piala Asia 2027.

Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan Mohd Sadek Mustafa menyifatkan peletakan jawatan Pan Gon sebagai satu kehilangan besar lebih-lebih lagi selepas bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Korea Selatan memiliki kepakaran membawa masuk pemain kurang dikenali ke dalam skuad kebangsaan.

“Saya tabik Pan Gon yang mempunyai aura tersendiri sehingga berjaya ubah pemikiran para pemain dan berjaya menaikkan ranking skuad negara. 

“Dari segi pemilihan pemain pula kita lihat sebelum ini jurulatih terdahulu amalkan pilih kasih namun Pan Gon buka ruang kepada pemain-pemain yang tidak pernah terfikir pun boleh main untuk negara,” katanya.

Mohd Sadek turut mengagumi keperibadian Pan Gon yang amat jarang menyuarakan ketidakpuasan hati kepada pihak pengurusan bola sepak negara sebaliknya hanya membuktikan kemampuannya menerusi keputusan yang dihasilkan.

Pan Gon memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi pasukan negara di pentas antarabangsa, membimbing pasukan sehingga layak ke Piala Asia secara merit selepas 42 tahun.

Selain membantu skuad negara mendaki ranking ke-130 pada November lepas, iaitu kedudukan terbaik Malaysia dalam tepoh 17 tahun, jurulatih berkenaan berjaya membawa Harimau Malaya menjadi naib juara kejohanan Piala Raja Thai 2022 dan Pestabola Merdeka 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan