SUKAN > BERITA

NUR ASYIKIN BERKOBAR BURU EMAS DI SUKMA 2024 SARAWAK

18/07/2024 12:59 PM

SEREMBAN, 18 Julai (Bernama) -- Atlet petanque Negeri Sembilan, Nur Asyikin Roslan bersemangat untuk mempertahankan pingat emas dimenanginya dua tahun lepas, pada penampilan terakhirnya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Atlet berusia 20 tahun itu berkata kejayaan meraih dua pingat emas di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 bulan lepas, menjadi tonik terbaik buatnya untuk bersaing di temasya dwitahunan kebangsaan itu.

Pemenang pingat emas Shooting dan Singles pada SUKMA 2022 itu berkata pengalaman di peringkat antarabangsa juga akan dimanfaatkan sebaiknya bagi membantu skuad petanque melakar kejayaan di Sarawak nanti.

“Saya bermain sukan ini sejak berusia 14 tahun. SUKMA kali ini adalah penampilan ketiga dan terakhir, jadi saya akan memberikan sepenuh komitmen untuk pasukan dan kontinjen,” katanya kepada Bernama.

Gandingan Nur Asyikin, Sharifah Afiqah Farzana Syed Ali dan Mohamad Muqri Mohamad Sapiny meraih pingat emas di AUG 2024 selepas menewaskan Thailand 13-5 dalam aksi final triples campuran di Gelanggang Petanque Universitas Negeri Surabaya (UNESA), Indonesia.

Mengenai saingan di SUKMA kali ini, Nur Asyikin yang menjalani latihan di bawah bimbingan bekas pemain kebangsaan Nurashimah Senin itu mengakui bakal berdepan cabaran hebat daripada atlet Terengganu.

“Rekod menunjukkan Negeri Sembilan dan Terengganu lebih mendominasi sukan ini tetapi pasukan tuan rumah juga pasti memberikan saingan hebat. Saya tidak nafikan Sharifah Afiqah (atlet Terengganu) seorang pemain yang bagus, sudah tentu dia akan memberikan tentangan sengit pada perlawanan itu nanti,” katanya. 

Sementara itu, skuad lelaki juga tidak mahu ketinggalan untuk mencatat nama selaku penyumbang emas kontinjen Negeri Sembilan menerusi acara berpasukan yang dibarisi Muhammad Najmi Fitri Mohd Shaharin, Muhammad Hazmi Syazwan, Muhammad Irfan Hakimi Nazri, Syahin Muhaimin Mohd Azmi, Ahmad Azim Azwan Hashim Fahmi, Muhammad Aiman Akmal Zainuddin dan Muhammad Ammarshaqil Izwan Irvan Shah.

Muhammad Najmi, 21, berkata dia lebih bersedia pada penampilan keduanya kali ini, terutama dari aspek fizikal dan mental serta yakin dengan kekuatan pasukan.

“Pada penampilan pertama itu ada perasaan gementar. Dalam petanque ini fokus memainkan peranan penting, saya yakin kami lebih bersedia dan memberikan saingan sengit kali ini,” katanya. 

Sukan petanque mempertaruhkan 17 acara pada SUKMA kali ini yang akan berlangsung di Gelanggang Petaque Negeri Sarawak, Santubong. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan