SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: SKUAD BOLA SEPAK PERAK SASAR KE SEPARUH AKHIR

18/07/2024 01:39 PM

IPOH, 18 Julai (Bernama) -- Juara empat kali, Perak menyasarkan untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Ketua jurulatih skuad The Bos Gaurus Mohd Shahril Nizam Khalil berkata sasaran itu realistik mengambil kira persiapan pasukan-pasukan lain yang juga dalam misi memburu ‘ibu segala pingat’ itu.

“Tekanan tetap ada lebih-lebih lagi Perak yang merupakan antara nama besar di temasya SUKMA. Cuma untuk edisi kali ini, kita dimaklumkan semua negeri membuat persiapan rapi.

“Saya rasa sasaran ke separuh akhir itu lebih realistik dan sekiranya Perak dapat membawa pulang emas yang dianggap ibu segala pingat, ia bonus dan satu kejayaan kepada negeri,” katanya ketika ditemui Bernama di Stadium Perak di sini.

Untuk rekod, Perak meraih pingat emas acara bola sepak pada SUKMA 2002 di Sabah, edisi 2014 di Perlis, 2016 (Sarawak) dan 2018 ketika menjadi tuan rumah.

Pada saingan SUKMA 2024, Perak diundi dalam Kumpulan D bersama tuan rumah Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Pahang.

Juara bertahan, Terengganu diundi dalam Kumpulan B bersama Johor dan Sabah manakala Pulau Pinang, Melaka dan Kedah berada dalam Kumpulan C, diikuti Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan dalam Kumpulan A.

Mohd Shahril Nizam bekata pada edisi kali ini Johor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan dikatakan antara pasukan pilihan dan pencabar terdekat skuad Perak.

“Bagi saya ketiga-tiga pasukan ini mempunyai kualiti bukan hanya dari sudut pemain tetapi strategi atau formasi yang diguna pakai bervariasi dan mampu menghukum pihak lawan,” katanya.

Sementara itu mengenai persiapan, Mohd Shahril Nizam berkata 23 pemain terdiri daripada anak jati negeri Perak selain tonggak Perak III disenaraikan untuk membawa cabaran di SUKMA 2024.

Beliau berkata mereka mula menjalani latihan sejak awal Januari lepas dengan memberikan penekanan kepada bahagian serangan.

“Kita bakal mengadakan dua siri perlawanan persahabatan menentang Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) hari ini serta Legasi Setiakawan FC pada 21 Julai ini,” katanya.

Beliau akan berlepas ke Kuching pada 10 Ogos dan Perak memulakan kempen berdepan Wilayah Persekutuan pada perlawanan pertama peringkat kumpulan pada 12 Ogos.

Acara bola sepak akan berlangsung di tiga bahagian iaitu Sibu, Mukah dan Bintulu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan